Peluang Saksama Pendidikan Tinggi Teras Bantuan Kewangan Asasi (BKA) KPT
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengulangi komitmen utamanya untuk memastikan tiada pelajar tercicir daripada pengajian di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disebabkan oleh kekangan kewangan.
Perkara tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, semasa Program Temu Sua bersama pelajar tajaan Bantuan Kewangan Asasi (BKA) Tahun 2025 di Auditorium Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Selangor, Kampus Dengkil pagi tadi.
Menurut YBhg. Datuk Dr. Anesee, program BKA diwujudkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan peluang yang saksama kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran tanpa halangan kewangan.
Kerajaan memperuntukkan bajet tahunan yang besar untuk bantuan tersebut meliputi pembayaran yuran pengajian, elaun wang saku dan yuran penginapan
Program Temu Sua merupakan platform dialog dua hala untuk YBhg. Datuk Dr. KSU mendengar sendiri persoalan, pandangan, serta cadangan penambahbaikan terus daripada para pelajar yang merupakan pemegang taruh utama kementerian.
Menerusi sesi soal jawab, para pelajar telah membangkitkan pelbagai isu termasuk kriteria kelayakan BKA, kos sara hidup mengikut lokasi dan keperluan bantuan peranti.
Beliau turut menasihati para penerima bantuan agar melaksanakan tanggungjawab utama mereka sebagai pelajar dengan sebaik mungkin kerana perjalanan akademik di peringkat asasi ini adalah langkah permulaan yang penting sebelum pelajar meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan lain-lain.
Turut hadir Setiausaha Bahagian, Bahagian Biasiswa KPT, Puan Marhanum M. Haniff; Pengarah Pusat Asasi, YBrs. Profesor Dr. Haji Zulkhairi bin Haji Amom serta pegawai-pegawai kanan dari KPT dan Pusat Asasi UiTM Kampus Dengkil, Selangor.
- Last updated on .
- Hits: 108