Pelajar Masa Kini Wajah Baharu Pendidikan Tinggi Negara – YB Menteri

YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyifatkan pelajar masa kini sebagai generasi yang akan membentuk wajah baharu sistem pendidikan tinggi negara yang lebih progresif, inklusif dan bertaraf antarabangsa.
“Saya percaya pelajar-pelajar hari ini jauh lebih hebat daripada zaman kami. Mereka bukan sekadar cemerlang dalam peperiksaan tetapi mempunyai akses kepada dunia dan teknologi yang mempercepatkan proses kematangan dan pembangunan kendiri,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sesi In Person With Doc Zam (IPWDZ) yang masuk siri ke-8 dan telah diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) melibatkan kehadiran lebih 3,000 pelajar asasi dari lima (5) universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan juga tuan rumah, UM.
Menerusi sesi itu, YB Menteri turut menegaskan bahawa pendekatan pendidikan tinggi sedang mengalami perubahan besar dengan menekankan kepada pembelajaran berasaskan aplikasi dan pengalaman industri sebenar.
“Kita sedang menuju ke satu bentuk pembelajaran di mana pelajar tidak hanya berada di dalam kampus sepanjang masa. Mungkin dua (2) tahun di kampus, dua (2) tahun lagi di industri. Ini ialah model baharu pendidikan tinggi yang lebih realistik dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan ini seiring dengan keperluan dunia pekerjaan yang semakin dinamik dan kompleks, terutama dalam era kepesatan teknologi dan kemunculan ekonomi digital.
Katanya lagi, pelajar kini tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada pendekatan kuliah tradisional sebaliknya perlu memiliki keberanian untuk bertanya, mencabar idea dan mengasah kemahiran kritikal.
Memberi contoh sistem institusi KOSEN di Jepun, menurutnya mereka terkenal dengan pendekatan melahirkan jurutera melalui pendidikan teknikal yang seimbang antara kecekapan profesional dan tanggungjawab sosial.
“Matlamat akhir manusia itu apa? Dia bekerja di atas muka bumi ini. Muka bumi itu ada manusia. Seorang engineer berkhidmat kepada siapa? Kepada masyarakat. That is another dimension of engineer,” jelas beliau.
Terdahulu, KPT melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS) telah menyampaikan sumbangan bagi membantu memudahkan urusan pengajian kepada enam (6) orang pelajar serta sumbangan khas Care4OKU (bantuan pendengaran) bagi seorang pelajar berkeperluan khas.
Sesi dialog siang tadi turut menyaksikan para pelajar mengemukakan pelbagai persoalan kritikal meliputi jurang antara pembelajaran teori dan realiti industri, penglibatan mahasiswa dalam dasar pendidikan, kebebasan bersuara pelajar, kefahaman politik dalam kalangan anak muda serta kebimbangan terhadap kadar pengangguran belia dan kuota bidang kritikal seperti perubatan.
Dalam kesempatan itu, YB Menteri turut mengingatkan pelajar agar berwaspada dengan penyebaran maklumat palsu, khususnya kandungan palsu yang dihasilkan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) dan menyeru pelajar membina pemikiran kritikal yang mampu menyaring kebenaran daripada ilusi.
“Sekarang ini AI boleh cipta imej yang kelihatan sangat real. Tapi bila disemak, orang itu tak wujud pun. Sebab itu kita kena ada critical mind. Bila tengok satu benda, tanya dulu, betulkah ini?” tegas beliau.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Naib Canselor UM, YBhg. Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.
- Last updated on .
- Hits: 37