Pameran Kerjaya MOHE-BMCC, Tingkat Peluang Kerjaya Graduan Tempatan Di Arena Global

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, hari ini telah merasmikan pameran kerjaya MOHE-British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC) Recruitment Drive 2024 yang bertujuan meningkatkan peluang kerjaya untuk graduan tempatan.
Program ini adalah hasil kerjasama awam-swasta iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT-MOHE); Dewan Perniagaan British-Malaysia (British-Malaysian Chamber of Commerce - BMCC); serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, Jabatan Perdana Menteri (PACU) yang mencerminkan komitmen bersama dalam pembangunan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri global.
Teks ucapan YB Menteri telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian.
Dalam ucapannya, YB Menteri Pendidikan Tinggi menegaskan pentingnya kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan sektor swasta dalam menyediakan graduan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Program ini juga menjadi jambatan penghubung antara bakat tempatan dan peluang pekerjaan, sejajar dengan usaha KPT untuk memastikan graduan bersedia menghadapi cabaran ekonomi berasaskan pengetahuan.
Pameran kerjaya yang julung-julung kali diadakan ini berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menyaksikan penyertaan lebih daripada 25 syarikat terkemuka British di Malaysia yang menawarkan lebih 300 peluang pekerjaan kepada graduan, termasuklah skim latihan siswazah.
Program ini menawarkan pelbagai manfaat kepada peserta, antaranya peluang pekerjaan di peringkat antarabangsa, sesi interaksi dengan majikan terkemuka, peluang meningkatkan kemahiran kerjaya, dan memperluas rangkaian profesional.
Menurut beliau, KPT menekankan kebolehpasaran graduan melalui Dasar Pendidikan Malaysia 2030 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, dengan lebih 75% graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
Kerjasama dengan BMCC akan memberi akses kepada platform antarabangsa dan pendedahan kepada amalan terbaik global, sekali gus memperkukuh hubungan pendidikan dan perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Tom Shepherd; Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, Datin Noorazah Omar; dan Ketua Pegawai Eksekutif BMCC, Jennifer Lopez.
- Last updated on .
- Hits: 1406