PABM 2026: KPT Angkat Bahasa Melayu Sebagai Wahana Diplomasi Budaya dan Hubungan Antara Negara

PABM 2026: KPT Angkat Bahasa Melayu Sebagai Wahana Diplomasi Budaya dan Hubungan Antara Negara
English translation not available for this content.

7 Mei 2026 | Kuala Lumpur

Penganjuran Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2026 bukan sekadar pertandingan berpidato, malah menjadi platform penting bagi memupuk diplomasi budaya serta memperkukuh hubungan antara negara melalui pendekatan pendidikan dan kesusasteraan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, menyatakan yang demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Makan Malam Sempena PABM Piala Perdana Menteri 2026 di majlis resepsi meraikan para peserta di ibu negara malam semalam.

Beliau berkata, kehadiran peserta dari pelbagai negara bukan sahaja menyerikan program, malah menjadi simbol kesungguhan bersama untuk mengangkat Bahasa Melayu ke persada antarabangsa.

Tambahnya, tema PABM 2026, "Bahasa Melayu Jambatan Peradaban Global", amat signifikan dalam usaha memperkukuh peranan Bahasa Melayu sebagai medium penyatuan pemikiran dan peradaban merentas sempadan.

Program berprestij itu merupakan prakarsa anjuran KPT dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan pelbagai rakan strategik, yang telah menerima sebanyak 174 penyertaan dari seluruh dunia bagi edisi ke-16 ini.

Seramai 50 peserta terbaik daripada negara-negara seperti China, Uzbekistan, Rusia, Jepun, Afghanistan, Indonesia, Singapura, Brunei, Burundi, Yaman, Nigeria dan Thailand telah berjaya melangkah ke peringkat pertandingan seterusnya merentas tiga (3) kategori utama.

Selain itu, sesi pengenalan diri peserta pada majlis makan malam itu memberi peluang kepada para hadirin untuk mengenali latar belakang negara serta aspirasi para peserta, sekaligus membina jaringan persahabatan melalui bahasa.

YBhg. Datuk Dr. KSU turut mengumumkan sembilan (9) finalis yang akan berentap di pentas akhir PABM 2026 pada 8 Mei ini, merangkumi wakil dari Malaysia, Indonesia, Mesir, Afghanistan, Burundi, Uzbekistan, China, dan Rusia.

Pada masa sama, YBhg. Datuk Dr. Anesee turut menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara, Jabatan Imigresen Malaysia serta Kementerian Dalam Negeri atas komitmen dan kecekapan dalam memastikan kelancaran proses kemasukan peserta antarabangsa.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Ahmad Rizal Adnan; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Amin Ayob; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur, Prof. Ir. Dr. Azman Senin; dan Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon. 

  • Last updated on .
  • Hits: 107
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 08 May 2026, 09:18:20.

sirim-logo