Ng Zhen Fan Shankar Dinobatkan Tokoh Siswa Negara 2025

Ng Zhen Fan Shankar Dinobatkan Tokoh Siswa Negara 2025
English translation not available for this content.

​“Semoga ketokohan yang ada kepada mahasiswa-mahasiswi kita itu akan terus memimpin, bukan hanya memimpin di peringkat universiti, tetapi akan terus memimpin ke peringkat negara suatu hari nanti.”

​Demikianlah hasrat yang dizahirkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan beliau di Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025 di sini malam semalam.

​Majlis gilang-gemilang tersebut menjadi platform pengiktirafan tertinggi negara buat mahasiswa yang bukan sekadar untuk menghargai, tetapi juga bertujuan mengenal pasti dan terus menggilap bakat kepimpinan mereka.

​Kemuncak acara menyaksikan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ng Zhen Fan Shankar, dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2025.

​Anugerah edisi ke-9 ini menerima sebanyak 246 penyertaan dari seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT), dengan 75 calon terbaik berjaya ke peringkat akhir setelah melalui saringan yang kompetitif.

​Selain anugerah utama, ATSN 2025 turut menawarkan 11 kategori individu, Anugerah Sinergi Kepimpinan (berkumpulan), dan empat (4) Anugerah Penghargaan Khas.

​Para pemenang membawa pulang trofi, sijil pengiktirafan rasmi KPT, wang tunai sehingga RM5,000, geran mobiliti akademik, serta tawaran biasiswa bagi penerima utama.

​Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yakin anugerah ini akan terus menjadi penanda aras dalam melahirkan pemimpin muda global, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serantau.

​Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor UPSI, Dato' Prof. Dr. Md. Amin Md. Taff; serta para Naib Canselor yang lain. 

  • Last updated on .
  • Hits: 702
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 24 October 2025, 04:17:19.

sirim-logo