MoU Malaysia–Perancis Pacu Kolaborasi Pendidikan Tinggi Lebih Berstruktur

4 Mac 2026 I Putrajaya
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik Perancis ke Malaysia, TYT Marc Abensour pada petang ini.
Pertemuan ini mencerminkan keakraban hubungan diplomatik serta komitmen berterusan antara Malaysia dan Perancis dalam memperkukuh agenda pendidikan tinggi di peringkat global.
Fokus utama perbincangan adalah penyelarasan Memorandum Persefahaman (MoU) yang kini berada dalam fasa rundingan akhir. Dokumen strategik ini akan dimuktamadkan sebaik sahaja persetujuan bersama dicapai, sekali gus menjadi pemangkin kepada kolaborasi yang lebih formal dan berstruktur antara kedua-dua negara.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada kelestarian pembiayaan penyelidikan, khususnya kesinambungan inisiatif berimpak tinggi susulan kejayaan program terdahulu seperti Hubert Curien Partnership France-Malaysia Hibiscus (PHC Hibiscus) dan MYTiger.
KPT turut menzahirkan hasrat untuk meneroka kerjasama lebih mendalam bersama Perancis dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi serta bidang-bidang rintis berpotensi tinggi memacu pertumbuhan strategik bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.
KPT yakin sinergi utuh antara Malaysia dan Perancis bukan sahaja memperkukuh hubungan bilateral, malah berupaya memacu pembangunan modal insan serta kemajuan negara secara holistik.
- Last updated on .
- Hits: 123
