. MIAD 2024, Platform Temukan Industri-Akademia Untuk Perkasakan Bidang TVET Termaju Negara

. MIAD 2024, Platform Temukan Industri-Akademia Untuk Perkasakan Bidang TVET Termaju Negara
English translation not available for this content.

Universiti seharusnya bukan sahaja menjadi tempat untuk mengasah bakat dan menimba pengetahuan, malah turut disaran untuk mengadakan program kajian berkaitan industri TVET Termaju (Advanced TVET) melalui hubungan kerjasama sesama Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), sektor kerajaan, mahupun pemain industri.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir lagi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut mengalu-alukan kolaborasi akademia-industri dalam misi melahirkan graduan yang memiliki kemahiran dan ilmu selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Syarahan Industri-Akademia berkenaan TVET Termaju 2024 (MTUN Industry-Academia Discourse on Advanced TVET 2024 - MIAD 2024) anjuran Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (Malaysia Technical Universities Network - MTUN) di sini petang tadi.

Program satu (1) hari tersebut telah berjaya menghimpunkan kumpulan pakar dalam kalangan pemimpin dan penggubal dasar; penyelidik; dan pemain industri global, termasuklah Pengarah Kanan (Pendidikan dan Teknologi) Alibaba (China), Zhang Lei, bagi menerokai peluang pencorakan TVET Termaju (Advanced TVET) masa hadapan.

Beliau juga telah melancarkan inisiatif 'Advanced TVET 2030' yang bertujuan meningkatkan kualiti TVET di Malaysia dengan melengkapkan tenaga kerja masa hadapan dengan kemahiran dan gaji yang lebih tinggi.

Turut dilancarkan 'Malaysia-China Kaiwu Workshop' iaitu sebuah kerjasama dengan Kolej Vokasional Kejuruteraan Pertanian Heilongjiang, China yang memberi tumpuan kepada laluan akademik dalam pengurusan teknologi; memupuk kerjasama antarabangsa; dan bertukar-tukar pengetahuan.

Selain itu, MTUN turut memeterai 23 buah memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan strategik melibatkan pelbagai industri utama dalam negara bagi bidang tersebut bagi memastikan keperluan tenaga kerja dapat diselaraskan dengan pihak universiti melibatkan empat universiti teknikal dalam negara.

Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa stigma yang mengatakan bidang TVET sebagai pendidikan kelas kedua perlu diperbetulkan kerana kerajaan kini telah menaiktaraf bidang tersebut agar ia setanding dengan program akademik lain.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; serta Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkap Pengerusi MTUN, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin. 

  • Last updated on .
  • Hits: 804
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.