Menteri Pendidikan Tinggi Serah Surat Penaiktarafan Universiti KPJ Healthcare

Menteri Pendidikan Tinggi Serah Surat Penaiktarafan Universiti KPJ Healthcare
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyerahkan surat penaiktarafan Kolej Universiti KPJ Healthcare (KPJUC) kepada Universiti KPJ Healthcare (KPJU) di pejabatnya pagi tadi.

Pada sesi tersebut, beliau terlebih dahulu telah diberi taklimat berkenaan pencapaian dan hala tuju KPJU dalam pendidikan penjagaan kesihatan oleh Naib Canselor merangkap Ketua Eksekutifnya iaitu YBhg. Prof. Emeritus Dato' Dr. Lokman Saim.

Bercakap kepada delegasi KPJU dan media yang hadir, YB Menteri telah menekankan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan sentiasa mempertimbangkan sebarang permohonan penaiktarafan sesebuah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam negara berdasarkan penilaian 3P; iaitu "Prestasi" lepas dan semasa, "Potensi" yang dimiliki IPT, serta "Pelan" masa depan yang strategik dan jelas.

Beliau turut merakamkan setinggi tahniah kepada KPJU atas penaiktarafan tersebut kerana kejayaan yang dicatat hari ini telah membuktikan perancangan strategik, tekad dan kerja keras mereka dalam merealisasikan cita-cita besar ini.

Tambah beliau lagi, perkhidmatan pendidikan kesihatan yang ditawarkan oleh KPJU mestilah dikekalkan pada tahap yang terbaik agar berpadanan dengan jenama dan reputasi yang dimiliki oleh rangkaian KPJ Healthcare yang dikenali dengan perkhidmatan pakar kesihatan terkemuka di Malaysia.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman.

  • Last updated on .
  • Hits: 1983
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 18 April 2024, 14:41:25.