Menteri Pendidikan Tinggi Mulakan Lawatan Kerja Dua Hari Di United Kingdom

Menteri Pendidikan Tinggi Mulakan Lawatan Kerja Dua Hari Di United Kingdom
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir memulakan lawatan kerjanya selama dua hari di United Kingdom.

Ia adalah sebagai usaha strategik untuk meletakkan pendidikan tinggi Malaysia di pentas global.

Pengisian lawatan kerja YB Menteri bermula dengan menyampaikan syarahan umum di School of Oriental and African Studies (SOAS) dan perkongsian dengan warganya.

Program yang dianjur bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini meliputi perkongsian strategik antara dua universiti seperti pengwujudan kelas pemantapan Bahasa Melayu, penyediaan geran padanan antara universiti, pertukaran tenaga pengajar, serta penerbitan dan penyelidikan bersama.

YB Menteri dalam ucapannya turut berkongsi mengenai pengajian Melayu yang dahulu pernah menjadi rujukan utama dan pengajian di peringkat dunia.

“Pengajian Melayu dan Bahasa Melayu khususnya bukan sekadar alat perhubungan malah merupakan gerbang utama dalam memahami budaya yang bukan sahaja pelbagai, tetapi unik dan kaya.

“Dalam dunia yang begitu terbuka dan bebas pada hari ini, aspek memahami seterusnya menguasai bahasa dan budaya yang berbeza ini amat penting dalam dunia akademia dan perkara ini merupakan suatu keperluan utama,” katanya dalam syarahan umum.

Majlis turut dihadiri Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Taff, pensyarah dan 20 orang pelajar SOAS yang mengikuti kursus Bahasa Melayu dan kepelbagaian budaya yang dibimbing dua Sarjana Pelawat UPSI, Prof. Madya Dr. Norliza Jamaluddin (Fakulti Bahasa dan Komunikasi) dan Prof. Madya Dr. Samsudin Suhaili (Fakulti Sains Kemanusiaan). 

  • Last updated on .
  • Hits: 874
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.