Malaysia dan Rusia Perhebat Kerjasama Strategik Dua Hala Dalam Bidang Sains, Teknologi dan Pendidikan Tinggi

Malaysia dan Rusia Perhebat Kerjasama Strategik Dua Hala Dalam Bidang Sains, Teknologi dan Pendidikan Tinggi
English translation not available for this content.

29 April 2026 I Tomsk, Rusia

Malaysia dan Rusia terus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang sains, teknologi dan pendidikan tinggi menerusi Mesyuarat Kumpulan Kerja Malaysia-Rusia mengenai Pendidikan, Sains dan Teknologi kali ketiga. Mesyuarat ini berfungsi sebagai mekanisme utama dalam menyelaras serta memantau kerjasama saintifik dan akademik antara kedua-dua negara.

Mesyuarat yang berlangsung di Tomsk Polytechnic University itu dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan Timbalan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Airat Gatyatov.

Sesi tersebut turut dihadiri oleh wakil daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan (KPM), pentadbiran Wilayah Tomsk serta delegasi daripada lebih 50 universiti dan organisasi penyelidikan daripada kedua-dua buah negara.

Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Datuk Dr. Anesee menegaskan bahawa kolaborasi dalam sektor pendidikan dan sains menunjukkan momentum perkembangan yang amat positif. Hubungan antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dilihat semakin erat menerusi pelaksanaan program berkembar serta peningkatan mobiliti akademik dalam kalangan pelajar dan pensyarah.

Kedua-dua pihak turut menzahirkan komitmen padu untuk terus memperkukuh kerangka kerjasama sedia ada. Antara yang diberi tumpuan khusus adalah keberkesanan hubungan langsung antara institusi, termasuk kejayaan program akademik bersama seperti “Russian Aerospace Program” yang melibatkan kerjasama antara Moscow Aviation Institute dan Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT).

Selain itu, agenda mempromosikan bahasa Rusia di Malaysia turut diperincikan, antaranya melalui kesinambungan operasi Pusat Bahasa Rusia di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP), Kuantan. Inisiatif kebudayaan dan pendidikan ini bertujuan menarik minat lebih ramai pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di Rusia.

Sebagai manifestasi kepada pengukuhan hubungan ini, sebanyak enam (6) perjanjian antara institusi telah dimeterai, melibatkan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Kedua-dua negara juga bersetuju untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang strategik seperti pertanian berteknologi tinggi, tenaga boleh baharu, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kecerdasan buatan (AI), bahan termaju serta penyelidikan marin.

Menjelang tahun 2027, pihak Rusia turut menekankan kepentingan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Persekutuan Rusia dan Malaysia. Penyediaan pelan tindakan aktiviti sempena sambutan tersebut dijangka menjadi pemangkin baharu dalam memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam aspek kemanusiaan, sains dan pendidikan pada masa hadapan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 77
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 30 April 2026, 06:34:40.

sirim-logo