Malaysia - Belgium Kukuhkan Kerjasama Pendidikan Tinggi Dalam Bidang Perikanan Dan Keterjaminan Makanan

Malaysia - Belgium Kukuhkan Kerjasama Pendidikan Tinggi Dalam Bidang Perikanan Dan Keterjaminan Makanan
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah berbesar hati menerima kunjungan hormat Duta Belgium ke Malaysia, TYT Peter Van Acker, di pejabatnya petang tadi.

Pertemuan dua hala ini merupakan pertemuan julung kali diadakan oleh kedua-dua pihak.

Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai kerjasama strategik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam ASEAN Fisheries Education Network (ASEAN-FEN) bersempena Mesyuarat EU-ASEAN Global Gateway Project.

Dalam hal ini, UMT sedang mengorak langkah bersama Ghent University di Belgium bagi mendapatkan geran berimpak tinggi (10 juta euro) di bawah Program EU-ASEAN Global Gateway yang baru diperkenalkan di bawah program Kesatuan Eropah. Usaha memperluas bidang ini dilihat mampu memperkukuhkan jalinan kerjasama negara ASEAN serta Kesatuan Eropah, malah mampu memberi nilai tambah kepada reputasi universiti ke peringkat yang lebih tinggi.

Kedua-dua pihak turut membincangkan mengenai peluang mewujudkan lebih banyak kerjasama saintifik bagi menghadapi cabaran yang dihadapi oleh komuniti global terutama dari aspek keterjaminan makanan (food security), perikanan (fisheries) dan akuakultur (aquaculture).

Turut hadir dalam sesi kunjungan hormat ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, YBhg. Datin Noorazah Omar.

  • Last updated on .
  • Hits: 2030
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.