Majlis Profesor Negara Tunggak Pemikir Pemerkasaan Watan

Majlis Profesor Negara Tunggak Pemikir Pemerkasaan Watan
English translation not available for this content.

Pada masa kini, masyarakat mudah mentakrifkan golongan profesor terhad pada kecendekiaan tanpa memasukkan ciri kedua iaitu nilai kebijaksanaan yang diikat pada hubungan dan manfaatnya kepada masyarakat.

Malah, gelaran profesor turut datang bersama tanggungjawab besar yang utama iaitu sumbangan kesarjanaan rentas bidang dan ilmu supaya bangsa dan watan dapat diperkasakan.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika menyampaikan watikah pelantikan kepada Kluster dan Chapter Universiti di bawah Majlis Profesor Negara (MPN) di ibu kota semalam.

Menurut beliau lagi, magnitud isu dan cabaran hari ini menuntut semua ahli MPN untuk merapatkan hubungan dan jalinan kerjasama sesama mereka dalam mengupas sesebuah isu secara tuntas.

Justeru, beliau bertaruh harap kepada MPN untuk mengumpulkan segala bakat dan minda terbaik bangsa untuk digembleng secara strategik bagi membawa kebaikan kepada bangsa dan negara.

Pada majlis itu juga, beliau telah menyampaikan watikah pelantikan kepada semua Jawatankuasa tertinggi bagi 12 Kluster, satu (1) sub-kluster serta 21 Chapter Universiti MPN yang terus menyumbang dalam pengurusan kepakaran ilmuan dan profesor.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Prof. Dr. Norzaini Azman; Penasihat MPN, YBhg. Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin; dan Presiden MPN, YBhg. Datuk Prof. Emeritus Dr. Raduan Che Rose.

  • Last updated on .
  • Hits: 1543
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 24 May 2024, 17:03:21.