MAGNET 2025 Pentas Pembinaan Jaringan Pelajar Antarabangsa
Pendidikan tinggi perlu menjadi ruang untuk membina kepimpinan dan jati diri global, bukan sekadar wadah menimba ilmu, jelas Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Meet and Greet with International Students in Malaysia (MAGNET 2025) yang diadakan di Dataran Pahlawan Melaka semalam.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Education Malaysia Global Services (EMGS) itu menjadi platform pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta memperkukuh agenda Edutourism Malaysia.
Lebih 1,000 orang pelajar antarabangsa daripada pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta seluruh negara menyertai program berkenaan yang memupuk semangat perpaduan, kefahaman budaya dan persahabatan global.
YB Menteri berkata interaksi di kampus antara pelajar tempatan dan antarabangsa memberi ruang membina empati serta kefahaman merentas sempadan bangsa dan agama.
Menurut beliau, Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan utama pelajar antarabangsa kerana kestabilan, kepelbagaian budaya dan mutu pendidikan tinggi yang diiktiraf di peringkat global.
Beliau menambah bahawa pengalaman pelajar antarabangsa di Malaysia bukan sahaja memperkayakan ilmu, tetapi turut membentuk pemikiran terbuka dan semangat kepimpinan berteraskan nilai sejagat.
MAGNET 2025 turut diisi dengan pelbagai aktiviti berteraskan budaya dan warisan seperti Country Booth, persembahan kebudayaan, pertandingan warisan serta aktiviti interaktif yang mengukuhkan jaringan antarabangsa.
KPT komited memperkukuh pelaksanaan Malaysia Edutourism Global (MEG) sebagai inisiatif jangka panjang untuk memperluas peranan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi EMGS, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie; dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Datuk Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
- Last updated on .
- Hits: 201