Lawatan Kerja PM Ke Sabah: YB Timbalan Menteri Sambut Ketibaan, Sertai Sesi Bersama YAB PM

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim meneruskan siri lawatan ke Sabah dengan menghadiri beberapa sesi termasuk taklimat pembangunan negeri serta Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Sabah 2025.
YAB PM tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 3.00 petang dengan disambut Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji Haji Noor, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud serta beberapa Menteri kabinet negeri dan pegawai kerajaan.
Lawatan kerja YAB PM ke Sabah pada petang dimulakan dengan sesi taklimat pembangunan negeri yang berlangsung di Pejabat Daerah Tuaran.
Seterusnya, YAB PM turut berkesempatan bersama kira-kira 10,000 rakyat Sabah dalam Majlis Berbuka Puasa di Padang Istiadat Daerah Tuaran. Ia turut menyaksikan penyerahan sumbangan Ramadan kepada anak yatim, asnaf dan fakir miskin, ibu tunggal, wakil rumah kebajikan, masjid serta surau yang terpilih.
YAB Ketua Menteri dalam ucapannya turut menyentuh beberapa insentif dan inisiatif Kerajaan Negeri dan Kerajaan MADANI terkait pendidikan tinggi termasuk pembangunan modal insan dan pendidikan meliputi perbelanjaan sekitar RM470 juta oleh kerajaan Negeri pada 2024.
Bagi meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan negeri menyalurkan bantuan subsidi tiket kapal terbang sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang sedang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan yang ingin pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.
Selain itu, turut dimaklumkan adalah bagi pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam negeri yang ingin pulang ke kampung masing-masing, mereka turut diperuntukkan bantuan sebanyak RM300 seorang.
Peruntukan biasiswa untuk pelajar-pelajar juga jelasnya telah ditambah daripada RM50 juta kepada RM128 juta pada tahun ini.
Kesemua inisiatif ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dan Kerajaan MADANI dalam memastikan aspek pendidikan menjadi keutamaan bagi membangunkan lebih ramai bakat tempatan yang seterusnya dapat berbudi kepada negara.
Sumber gambar: FB Anwar Ibrahim
- Last updated on .
- Hits: 386