Lawatan Kerja dan Sesi Libat Urus Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) ke Pejabat Pendidikan Daerah Sibu, Sarawak

18 Jun 2026 | Sibu, Sarawak
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Encik Ahmad Rizal bin Adnan serta delegasi KPT telah mengadakan lawatan kerja dan Sesi Libat Urus (SLU) bersama Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sibu di Pejabat Pendidikan Daerah Sibu, Sarawak pada 16 Jun 2026 yang lalu. Lawatan kerja ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran menyeluruh berhubung pelaksanaan program, pengurusan sekolah, guru serta kebajikan pelajar Tingkatan Enam khususnya di kawasan luar bandar.
Input yang diperoleh ini amat kritikal memandangkan Sarawak merupakan negeri kedua tertinggi yang memiliki Pusat Tingkatan Enam (PTE) di Malaysia iaitu sebanyak 79 buah dengan 62% (49 buah PTE) daripadanya terletak di kawasan luar bandar yang melibatkan jumlah enrolmen keseluruhan seramai 10,999 pelajar.
SLU ini dimulakan dengan taklimat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak mengenai pengoperasian dan pengurusan PTE di seluruh negeri Sarawak. Sesi kemudiannya diteruskan dengan pembentangan dari PPD Sibu yang merangkumi perincian struktur PTE di daerah Sibu, isu pengisian guru serta enrolmen murid Tingkatan Enam. Seterusnya, wakil SMK Methodist, Sibu turut menyampaikan taklimat khusus berkaitan pengoperasian Tingkatan Enam Mod 2 yang merangkumi aspek pengurusan, pelaksanaan program akademik serta perkongsian amalan terbaik yang telah dilaksanakan di sekolah berkenaan.
Segala hasil dapatan dan maklum balas daripada SLU ini akan menjadi asas dalam perancangan dan persediaan pelaksanaan pemindahan tadbir urus program prauniversiti daripada KPM ke KPT yang akan dilaksanakan secara berfasa kelak.
Semoga kerjasama strategik di antara KPT dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan dapat memperkasa ekosistem pendidikan prauniversiti yang lebih mampan, inklusif dan berimpak tinggi demi masa depan generasi negara.
Turut hadir dalam sesi lawatan ini ialah Puan Jasmine Hayward selaku wakil JPN Sarawak; Encik Mohamad Nazri bin Ismail, Pengarah Politeknik Kuching; dan Puan Norasmah binti Jaafar, Pengarah Kolej Komuniti Sarikei serta wakil pengurusan daripada SMK Methodist, Sibu.
- Last updated on .
- Hits: 73
