Larian PTPTN Dan Komuniti Sabah 2025 Galakkan Gaya Hidup Sihat Dan Semangat Kebersamaan

Dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat Sabah terhadap manfaat produk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud pagi tadi turun padang menyertai Program Larian PTPTN dan Komuniti Sabah 2025 yang diadakan di Lintasan Deasoka.
Beliau telah menyempurnakan acara pelepasan rasmi program larian melibatkan jarak sejauh lima (5) kilometer yang disertai lebih 1,000 orang peserta pelbagai lapisan masyarakat termasuk mahasiswa, pelajar sekolah, rakan strategik, pemimpin setempat dan komuniti sekitar.
Dalam ucapannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyatakan bahawa PTPTN bukan hanya memainkan peranan sebagai agensi pinjaman pendidikan tetapi juga aktif menganjurkan program yang menyatukan masyarakat melalui pendekatan sihat dan positif.
Beliau berkata, program seperti ini penting untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan kecergasan fizikal dan perpaduan komuniti, selaras dengan konsep kesihatan moden yang menyeluruh seperti disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada PTPTN atas usaha proaktif menganjurkan program berimpak tinggi seperti ini dan berharap ia dapat diteruskan di lokasi-lokasi lain di seluruh negara.
Bagi memeriahkan acara, cabutan bertuah turut diadakan melibatkan 10 hadiah dengan nilai keseluruhan RM10,000 sebagai tanda penghargaan kepada peserta yang hadir.
Program ini membuktikan kesungguhan PTPTN dalam mendekati masyarakat, memperkenalkan produk seperti Simpan SSPN dan menyampaikan maklumat secara santai, mesra dan inklusif.
Turut hadir, Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Hjh. Norliza Abdul Rahim; Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
- Last updated on .
- Hits: 584