Kyoto Jadi Aspirasi Inisiatif Pemulihan Sungai Malaysia

Kyoto Jadi Aspirasi Inisiatif Pemulihan Sungai Malaysia
English translation not available for this content.

Sungai Kamogawa yang kini dikenali sebagai "sungai kehidupan" pernah menjadi antara sungai yang teruk tercemar dek kepesatan industri dan sikap leweh masyarakat Kyoto, Jepun terhadap kebersihan.

Namun, kesedaran serta inisiatif para pencinta alam sekitar serta masyarakat di situ semenjak tahun 1986 telah berjaya memulihkan ekosistem sungai sepanjang 31 km tersebut sehingga menjadi pusat riadah dan tumpuan para pelancong yang ingin menikmati kejernihanannya dan juga pemandangan indah pepohon sakura pada musim bunga.

"Kita harus menjadikan Sungai Kyoto (Kamogawa) sebagai aspirasi dalam usaha memulihkan sungai di Malaysia", seru Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang kepada para peserta program 'Kutip Sampah 10 kg | Sambil Riadah 10 ribu Langkah (KUDAH): Pra-Ramadan' di Taman Tasik Cempaka Bangi pagi tadi.

Seru YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini lagi, aktiviti KUDAH ini merupakan satu amalan baik yang mudah untuk dibudayakan bermula dari lingkungan kecil seperti ahli keluarga dan sahabat handai.

Beliau yang juga seorang pakar dan aktivitis sungai turut menegaskan kepentingan menjaga kebersihan terutamanya sampah sarap yang apabila tidak diuruskan dengan baik boleh menyebabkan sistem perparitan tersumbat dan mengakibatkan banjir kilat.

KUDAH yang disertai kira-kira 200 orang sukarelawan dari KPT, Universiti Teknologi MARA Cawangan Dengkil, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Putra Malaysia, PolyCC, Universiti Putra Malaysia, dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) telah turut digerakkan hasil sokongan Persatuan Pencinta Sungai Malaysia, Lembaga Urus Air Selangor dan ahli komuniti sekitar. 

  • Last updated on .
  • Hits: 837
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.