Kunjungan Hormat TYT Péter Szijjártó, Menteri Luar Negeri Dan Perdagangan Hungary: Usaha Memperkasa Kerjasama Dua Hala Malaysia-Hungary Melalui Penawaran Biasiswa Stipendium Hungaricum

Kunjungan Hormat TYT Péter Szijjártó, Menteri Luar Negeri Dan Perdagangan Hungary: Usaha Memperkasa Kerjasama Dua Hala Malaysia-Hungary Melalui Penawaran Biasiswa Stipendium Hungaricum
English translation not available for this content.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi telah menerima kunjungan TYT Péter Szijjártó, Menteri Luar Negeri dan Perdagangan Hungary pada petang ini di Parlimen.

Dalam kunjungan ini, pihak Hungary telah menyampaikan hasrat untuk meneruskan tajaan biasiswa Stipendium Hungaricum berdasarkan sambutan yang baik dari segi permohonan para pelajar Malaysia untuk menyambung ke institusi pendidikan tinggi di Hungary.

Pada tahun 2024, sebanyak 40 tempat biasiswa telah ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang merangkumi pelbagai tahap dan bidang pendidikan.

Pihak Hungary juga telah menyatakan bahawa Malaysia merupakan destinasi pendidikan pertama mereka di rantau ASEAN. Justeru itu, YB Menteri mencadangkan agar Hungary bekerjasama dgn universiti-universiti di Malaysia dengan menggunakan pendekatan 'Multiversity’ iaitu sebuah universiti besar yang merangkumi komponen sekolah, kolej, atau fakulti, dan universiti dengan fungsi pelbagai.

Selain itu, pihak Hungary turut berbesar hati menjemput Malaysia untuk berkolaborasi bersama mereka dalam bidang akademia, penyelidikan dan kerjasama industri.

Pihak Hungary juga bersetuju untuk berkongsi pengalaman bagaimana universiti di negara mereka berkolaborasi dengan jenama besar bidang automotif seperti Mercedes dan BMW dengan melaksanakan kaedah 'Dual Learning’.

Sebelum mengakhiri sesi perbincangan, YB Menteri telah menjemput pihak Hungary untuk menjadi rakan strategik khususnya dalam bidang pendidikan tinggi dengan memberi tumpuan kepada TVET dan Kecerdasan Buatan (AI), Teknologi Pembuatan, 'Renewable Energy’ dan lain-lain lagi.

Turut hadir YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan YBhg. Datin Noorazah Omar, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT. 

  • Last updated on .
  • Hits: 812
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.