KSU Ulas Inisiatif dan Insentif Belanjawan 2027 KPT Di Program Selamat Pagi Malaysia RTM

13 Oktober 2026 | Kuala Lumpur
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, telah dijemput untuk mengupas topik "Belanjawan 2027: Mahasiswa MADANI Terus Terbela" di slot temu bual Selamat Pagi Malaysia pagi tadi.
Menerusi pembentangan Belanjawan MADANI 2027, KPT telah menerima peruntukan sebanyak RM19.1 bilion, yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM500 juta berbanding tahun sebelumnya.
Peruntukan besar ini disediakan untuk memastikan setiap dana memberikan manfaat yang nyata dan berterusan kepada mahasiswa, graduan, institusi, serta pembangunan negara.
Menurut KSU KPT, menerusi Belanjawan MADANI 2027, kebajikan mahasiswa dan penambahbaikan kemudahan IPT diperkasa melalui peruntukan RM20 juta untuk Program Dapur Siswa MADANI, peningkatan subsidi tiket penerbangan FLYSiswa kepada RM500 dikendali Kementerian Pengangkutan dan pembiayaan RM800 juta bagi menaik taraf prasarana usang di IPT.
Bagi memastikan keselesaan pelajar, kemudahan penginapan ditingkatkan melalui pembinaan Residensi Mahasiswa Universiti Malaya berkapasiti 10,000 pelajar serta pelaburan KWAP bernilai RM750 juta menerusi Projek Vista Kampus.
Beban kewangan graduan pula diringankan dengan kelonggaran bayaran balik PTPTN bagi yang berpendapatan sehingga RM3,000 sebulan, diskaun 10 peratus untuk pembayar tanpa tunggakan, berserta insentif potongan cukai kepada majikan.
Seterusnya, ekosistem inovasi universiti awam terus dirancakkan menerusi Dana University VC yang disuntik dengan modal pemangkin RM25 juta bagi menyokong projek pengkomersialan hasil penyelidikan tempatan ke peringkat pasaran.
Ini adalah sebahagian inisiatif yang diperuntukkan kepada KPT dan ia menterjemahkan komitmen teguh KPT dalam memastikan setiap mahasiswa terus terbela seiring dengan pemerkasaan ekosistem pendidikan tinggi negara.
- Last updated on .
- Hits: 38
