KSU Lancar Buku Etika Alam Sekitar Dalam Islam Sempena Seminar Islam Dan Kesihatan Bumi UTM

KSU Lancar Buku Etika Alam Sekitar Dalam Islam Sempena Seminar Islam Dan Kesihatan Bumi UTM
English translation not available for this content.

Falsafah kemajuan yang bersandarkan pandangan dunia sekular barat (western secular worldview) telah menatijahkan visi berkaitan pembangunan yang akhirnya memberikan kemudaratan kepada diri mereka sendiri.

Jelas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, meskipun ada sebahagian inisiatif yang dicadangkan bersifat positif namun aspek pelaksanaannya seringkali tidak mencapai tahap yang memuaskan dalam menangani isu-isu alam sekitar kerana dasar-dasar yang diputuskan tidak didokong dan mengakar dalam gaya hidup masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku Etika Alam Sekitar Dalam Islam bersempena Seminar Islam dan Kesihatan Bumi anjuran Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains, dan Peradaban Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di ibu negara pagi tadi.

Dalam ucaptamanya juga, beliau turut berkongsi rumusan pembacaan buku tersebut yang antaranya menekankan keperluan merubah gaya hidup dan kepentingan menggalakkan penglibatan 'non-state actors' sebagai penggerak kepada dasar-dasar yang diputuskan oleh pemegang taruh.

Melalui penganjuran seminar itu pagi tadi, para peserta berdiskusi bagaimana pandangan dunia sekular (secular world view) sebenarnya merupakan akar masalah kepada kerosakan yang berlaku kepada bumi selama ini.

Fenomena peningkatan suhu bumi sebanyak 1.5°C akhir-akhir ini juga telah mengakibatkan pelbagai siri bencana alam yang semakin kerap berlaku di serata dunia, sekali gus memaksa kajian mendalam berkaitan punca serta solusi kepada krisis ekologi yang diakibatkan oleh kegiatan manusia ini.

Seminar anjuran UTM tersebut turut menjadi platform dalam mencari jalan keluar serta penyelesaian melalui sudut perspektif Islam.

Pendekatan ini diambil bagi menawarkan alternatif kepada solusi yang sentiasa dipakai oleh masyarakat moden iaitu bidang sains dan teknologi ciptaan mereka akan mampu mengatasi apa jua isu termasuklah krisis alam sekitar. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1080
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 07 February 2025, 10:01:10.

sirim-logo