KSU KPT Buat Lawatan Kerja ke UTeM

27 Julai 2026 | Melaka
Lawatan kerja Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) siang tadi bagi meninjau pelaksanaan agenda pembangunan universiti serta memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif KPT terus diperkasakan di peringkat institusi.
Pada permulaan lawatan, beliau menghadiri sesi taklimat yang disampaikan oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin mengenai hala tuju strategik universiti serta inisiatif penyelidikan dan inovasi yang menyokong aspirasi pendidikan tinggi negara.
Dalam sesi tersebut, turut dibentangkan pencapaian semasa UTeM, perancangan pembangunan universiti meliputi projek infrastruktur, kedudukan kewangan serta aspek perjawatan.
Seterusnya, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin meninjau beberapa kemudahan utama universiti termasuk tapak pembinaan panel solar, kolej kediaman pelajar, makmal penyelidikan serta fasiliti pembelajaran yang menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan teknikal negara.
Selain itu, beliau turut menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Taska dan Tadika UTeM yang bakal menyediakan kemudahan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak kepada warga universiti.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan keyakinan bahawa UTeM, sebagai sebuah universiti teknikal terkemuka, mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara menerusi penyelidikan berimpak tinggi, penghasilan teknologi baharu serta melahirkan graduan yang kompeten dan memenuhi keperluan industri.
Secara keseluruhannya, lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan KPT dalam memastikan agenda pembangunan pendidikan tinggi negara dilaksanakan secara berkesan, sekali gus memperkukuh kecemerlangan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam demi manfaat mahasiswa, industri dan negara.
- Last updated on .
- Hits: 183
