KPT Verifikasi Projek RMKe-13 Di UMPSA, UIAM Kuantan Dan SASMEC Untuk Jamin Kualiti Fasiliti
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melaksanakan lawatan kerja verifikasi ke tapak projek pembangunan di dua (2) buah universiti awam di Negeri Pahang semalam, bagi memantau kemajuan Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
Lawatan kerja strategik ke Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan itu diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.
Tumpuan utama delegasi adalah menjurus kepada pemantauan status semasa projek fizikal di kedua-dua universiti berkenaan, termasuk pemeriksaan khusus di Hospital Pengajar UIAM (Sultan Ahmad Shah Medical Centre - SASMEC) bagi memastikan pelaksanaannya mengikut perancangan.
Menurut YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Noor Azman, tujuan verifikasi tersebut adalah kritikal untuk memastikan setiap pelaksanaan projek di tapak berjalan dengan cekap dan efektif, serta mematuhi sepenuhnya garis panduan dan spesifikasi teknikal yang telah digariskan oleh kerajaan.
Pelaksanaan projek yang teratur dan sistematik dilihat sebagai elemen penting dalam menjamin penyediaan fasiliti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berada pada tahap terbaik demi keselesaan dan manfaat optimum para pelajar.
KPT turut menekankan bahawa pemantauan berkala di tapak projek seumpama ini membuktikan komitmen berterusan Kementerian dalam menyokong agenda pembangunan serta pemodenan infrastruktur bertaraf antarabangsa di semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
Inisiatif turun padang ini juga bertujuan memastikan segala isu atau kekangan di peringkat tapak bina dapat dikenal pasti dan diselesaikan dengan segera, supaya pelajar kelak mempunyai akses kepada fasiliti yang berkualiti tanpa sebarang kelewatan operasi.
Turut serta dalam sesi lawatan tersebut ialah pegawai-pegawai kanan Bahagian Pembangunan KPT, Naib Canselor UMPSA Prof. Dr. Yatimah Alias, Pengarah Kampus UIAM Kuantan Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman serta Pengarah SASMEC Dato’ Prof. Dr. Mohamed Saufi Awang.
- Last updated on .
- Hits: 99