KPT: UMRIIS 2025 Model Tauladan Sinergi Akademia Dan Industri Berimpak Tinggi
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyifatkan Sidang Kemuncak Penyelidikan, Inovasi dan Industri Universiti Malaya (UMRIIS 2025) sebagai platform unggul dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi negara, sekali gus menjadi tauladan terbaik integrasi antara dunia akademik dan industri.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, penganjuran UMRIIS 2025 membuktikan bahawa universiti kini bukan sekadar pusat ilmu, tetapi juga agen pemindahan pengetahuan dan pencetus pembangunan nasional.
“Kita perlu mengubah idea menjadi inovasi, penyelidikan menjadi penyelesaian, dan penemuan menjadi pembangunan yang memberi nilai kepada ekonomi dan masyarakat,” katanya dalam ucapan penutup di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya semalam.
Beliau menambah bahawa usaha Universiti Malaya (UM) menganjurkan sidang berprestij ini selaras dengan aspirasi KPT untuk menjadikan universiti awam sebagai peneraju inovasi kebangsaan yang berpaksikan impak dan kolaborasi strategik.
Bertemakan “Inspiring Research, Advancing Collaboration, Transforming Impact”, UMRIIS 2025 menghimpunkan lebih 2,000 peserta daripada pelbagai sektor — termasuk akademia, industri, agensi kerajaan dan NGO — serta menampilkan lebih 1,000 pembentangan dan poster penyelidikan rentas disiplin.
Antara pengisian utama program ialah sesi ucaptama mengenai semikonduktor dan tenaga, sesi fireside chat bersama tokoh industri dan penyelidik, Hari Padanan Perniagaan (Health & MedTech), serta Majlis Anugerah UM Deep Tech Innovation yang mengiktiraf pelajar inovator cemerlang.
KPT melihat kejayaan UMRIIS 2025 sebagai bukti keberkesanan strategi pendidikan tinggi negara dalam menggalakkan sinergi tiga pihak — universiti, industri dan kerajaan — bagi melahirkan penyelidikan berimpak serta inovasi yang mampu menembusi pasaran global.
“Kita mahu penyelidikan universiti Malaysia menjadi jenama tersendiri — Made by Malaysia, to the world,” ujar YBhg. Datuk Dr. Mohd Nor Azman, sekali gus mencerminkan visi KPT ke arah pengantarabangsaan hasil penyelidikan tempatan.
- Last updated on .
- Hits: 229