KPT Titik Berat Pembangunan Potensi dan Kemahiran Pelajar dalam Sistem Pendidikan Tinggi Negara

KPT Titik Berat Pembangunan Potensi dan Kemahiran Pelajar dalam Sistem Pendidikan Tinggi Negara
English translation not available for this content.

26 April 2026 | Tanjong Malim, Perak

Pendidikan tinggi negara tidak seharusnya hanya berpaksikan kepada pencapaian gred semata-mata, sebaliknya perlu memberi ruang kepada pembangunan serta kepelbagaian potensi dan kemahiran teknikal para pelajar.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menekankan bahawa sistem meritokrasi yang dilaksanakan oleh Bahagian Kemasukan Pelajar IPT (UPU) bertujuan memadankan kelayakan pelajar dengan kursus yang paling sesuai dengan impian mereka.

Beliau menyatakan demikian semasa merasmikan majlis penutupan Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Tengah 2 yang bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pagi tadi.

Jelas beliau lagi, melalui penganjuran karnival itu ke seluruh negara juga bertindak sebagai platform terbaik dalam menangani kekeliruan mengenai pemilihan kursus yang sering dihadapi oleh para pelajar.

Justeru, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui UPU sentiasa berusaha memberikan khidmat nasihat terbaik agar pelajar dapat membuat pilihan yang tepat tanpa tersalah langkah dalam menentukan hala tuju masa depan mereka.

YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry menjelaskan bahawa setiap pelajar mempunyai keunggulan tersendiri sama ada dalam aspek akademik mahupun kemahiran teknikal yang perlu digilap melalui sistem pendidikan yang fleksibel.

Beliau menyeru agar tanggapan masyarakat bahawa pelajar yang tidak mendapat gred tertentu dianggap tidak mempunyai masa depan yang cerah perlu diubah secara total demi kemajuan modal insan negara.

Program JMU 2026 yang bermula Januari lalu telah menghimpunkan lebih 140 reruai pameran Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), badan dan agensi Kerjaan tersebut menjadi platform strategik untuk pelajar meneroka pelbagai peluang pendidikan tinggi yang lebih inklusif.

Prakarsa itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KPT dalam mendemokrasikan akses pendidikan tinggi untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

Majlis tersebut turut menyaksikan sesi pra-pelancaran Anugerah Pendidik Global (Global Educator Awards, GEA) 2026 yang bakal menjadi indikator global dalam memberi pengiktirafan kepada pendidik terbaik dari seluruh dunia, sekali gus membuktikan keupayaan sistem pendidikan tinggi negara dalam menerajui piawaian kecemerlangan akademik pada peringkat antarabangsa.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Dato' Khairudin Abu Hanipah; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Dato' Seri Abdul Puhat Mat Nayan; dan Naib Canselor UPSI, Dato' Prof. Dr. Md. Amin Md. Taff. 

  • Last updated on .
  • Hits: 209
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 30 April 2026, 06:34:40.

sirim-logo