KPT Tinjau Projek Pembangunan dan Keperluan Fasiliti IPT di Pulau Pinang

16 Julai 2026 | Pulau Pinang
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, semalam telah mengadakan lawatan kerja ke UiTM Cawangan Pulau Pinang, Politeknik Balik Pulau (PBU) dan Politeknik Seberang Perai (PSP) bagi meninjau kemajuan projek pembangunan serta meneliti keperluan fasiliti di ketiga-tiga institusi berkenaan.
Lawatan dimulakan di PBU dengan taklimat oleh Pengarahnya, Ts. Jasni Mohd. Yusof, sebelum beliau meninjau Projek Menaik Taraf Dewan dan Pusat Islam PBU yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Tinjauan tersebut membolehkan KPT melihat perkembangan pelaksanaan projek di lapangan serta mendapatkan maklum balas secara terus daripada pengurusan institusi.
Di UiTM Cawangan Pulau Pinang, beliau meninjau beberapa projek pembangunan kampus selain mendengar pembentangan mengenai keperluan penambahbaikan infrastruktur bagi menyokong operasi serta perkembangan universiti.
Lawatan turut merangkumi dapur latihan dan hotel latihan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), dengan taklimat disampaikan oleh Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Prof. Dato' Ir. Dr. Hj. Ahmad Rashidy Razali.
Mewakili Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman kemudiannya menyempurnakan perasmian TVET Collaboration Hub (TCH) dan HaLTEC (Halal and Logistic Technology Excellence Centre) di PSP, yang menjadi platform memperluas kerjasama antara institusi TVET dan industri dalam bidang teknologi halal serta logistik.
Beliau seterusnya menyempurnakan Majlis Penutup Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) 2026 Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Peringkat Kebangsaan sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkukuh budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan dalam ekosistem Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Haji Ulaimi Yahya; Pengarah PSP, Haji Mohd. Ruzi Hamzah; serta para Pengarah PolyCC Zon Utara.
- Last updated on .
- Hits: 87
