KPT Terokai Peluang Kerjasama Bidang Pendidikan Tinggi Bersama Suruhanjaya Tinggi Malaysia Di United Kingdom

KPT Terokai Peluang Kerjasama Bidang Pendidikan Tinggi Bersama Suruhanjaya Tinggi Malaysia Di United Kingdom
English translation not available for this content.

Kunjungan hormat YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada Tuan Yang Terutama Dato’ Zakri Jaafar, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom telah diadakan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia, London pada 7 Mei 2023, jam 2.00 petang waktu tempatan.

Dalam kunjungan ini, YBhg. Dato’ Seri KSU telah berkongsi mengenai aspirasi, dasar dan hala tuju Malaysia dalam landskap pendidikan tinggi di peringkat global serta pendekatan Malaysia terhadap pelbagai isu dua hala terutamanya dalam aspek pengajian tinggi yang mempunyai kepentingan bersama.

YBhg. Dato’ Seri KSU turut berbincang mengenai kepentingan peranan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia untuk berganding bahu bersama Pejabat Education Malaysia London dalam menerokai peluang kerjasama baharu dalam bidang pendidikan tinggi terutama daripada kerjasama pertukaran pelajar, pertukaran kepakaran dalam bidang teknikal, kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan kapasiti.

Antara skop kerjasama yang turut dibincangkan adalah:

(i) MoU Malaysia dan United Kingdom;

(ii) Program mobiliti pelajar;

(iii) Program perantis (apprentice);

(iv) Pewujudan Kursi Bahasa Melayu;

(v) Pemerkasaan TVET; dan

(vi) Kebajikan serta pembangunan pelajar.

YBhg. Dato’ Seri KSU juga turut menzahirkan hasrat agar Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom dan para pelajar Malaysia di sini dapat mempromosikan program ‘Edutourism’, iaitu satu program jangka pendek yang membolehkan pelajar antarabangsa belajar dan merasai pengalaman pelbagai budaya di Malaysia.

Program ini melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi dalam membangunkan sosiobudaya antara pelajar antarabangsa dan pelajar tempatan. Program ini juga dapat dilihat sebagai salah satu inisiatif yang dilaksanakan bagi mencapai sasaran kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia seramai 250,000 orang menjelang tahun 2025 .

Turut hadir ialah YBhg. Prof. Dato' Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan YBhg. Prof. Dr. Fadzli Adam, Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

  • Last updated on .
  • Hits: 1728
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 28 February 2024, 20:42:11.