KPT Sambut Baik Pelaburan RM2.8 Bilion Monash University, Bukti Kepercayaan Terhadap Dasar Pendidikan Negara
Komitmen Malaysia dalam memartabatkan kedudukannya sebagai hab pendidikan tinggi global telah menerima suntikan baharu apabila Monash University Malaysia (Monash Malaysia) mengumumkan pembinaan kampus baharu berteknologi tinggi bernilai RM2.8 bilion di Tun Razak Exchange (TRX).
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, yang hadir menyaksikan majlis pengumuman tersebut bersama Perdana Menteri Australia, YAB Anthony Albanese, menyifatkan langkah tersebut antara usaha besar agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.
Malah, menurut beliau, inisiatif tersebut adalah selari sepenuhnya dengan gagasan Malaysia MADANI, Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035, dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Ujar beliau lagi, pelaburan tersebut jelas melambangkan pembaharuan komitmen serta visi bersama kedua-dua negara untuk memajukan modal insan dalam persekitaran global yang pesat berubah.
Justeru, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengalu-alukan pembangunan tersebut sebagai penjana kepada ekosistem penyelidikan, kebudayaan dan intelektual di Malaysia.
Kampus baharu tersebut, yang dijadualkan beroperasi mulai tahun 2032, dijangka menampung kapasiti sehingga 22,500 orang pelajar dan 1,700 orang kakitangan, menyokong permintaan pendidikan tinggi serta menangani kekurangan kemahiran bakat negara.
YAB Perdana Menteri Australia dalam ucapannya menyifatkan kerjasama tersebut sebagai langkah menarik yang bakal mengukuhkan lagi ikatan antara Malaysia dan Australia, di mana Monash merupakan perintis universiti antarabangsa pertama di Malaysia pada tahun 1998.
Beliau yang berada di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, turut mengiktiraf Monash Malaysia sebagai kampus antarabangsa paling berjaya di luar Australia, dengan lebih 11,000 pelajar dari 85 negara.
Tambah beliau, perkongsian antara Australia dan Malaysia dalam pendidikan transnasional merupakan templat terbaik bagi Strategi Ekonomi Asia Tenggara Australia hingga 2040.
Turut hadir Presiden dan Naib Canselor Monash University, Prof. Sharon Pickering; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Adeeba Kamarulzaman; Ketua Pegawai Eksekutif TRX City, Datuk Sr. Azmar Talib; dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, TYT Danielle Heinecke.
- Last updated on .
- Hits: 742