KPT Raikan Para Pengamal Media Zon Sabah

KPT Raikan Para Pengamal Media Zon Sabah
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi menzahirkan penghargaan kepada para pengamal media di Negeri Sabah atas komitmen dan kerjasama berterusan dalam menyampaikan dasar, polisi serta merungkai isu berkaitan pelajar dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, berkata demikian semasa Majlis Tautan Kasih bersama para pengamal media Negeri Sabah yang diadakan bersempena bulan Ramadan di sini petang tadi.

Beliau menyifatkan peranan media sebagai rakan strategik Kementerian dalam menjayakan agenda pendidikan tinggi negara, khususnya dalam memperluas capaian maklumat kepada rakyat.

“Setiap kali kami hadir ke Sabah atau mengumumkan sesuatu dasar, para pengamal media sentiasa memberikan liputan yang menyeluruh dan bertanggungjawab.”

“Ini bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi membentuk kefahaman masyarakat terhadap hala tuju pendidikan tinggi negara,” ujarnya.

Sebagai simbol penghargaan, majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan akaun SSPN Prime bernilai RM500 setiap seorang kepada 20 orang anak pengamal media berkeperluan.

Inisiatif berjumlah RM10,000 ini disalurkan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan bertujuan menggalakkan budaya menabung untuk pendidikan tinggi sejak awal usia.

Beliau turut berkongsi komitmen Kementerian dalam memastikan graduan tempatan selari dengan keperluan industri, terutamanya dalam bidang teknologi dan automasi.

Menurut beliau, universiti awam kini giat menawarkan program berkaitan kecerdasan buatan (AI), termasuk penubuhan Fakulti AI di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Graduan perlu bersedia mengisi peluang pekerjaan dalam bidang baharu yang sedang berkembang, seperti AI, automasi dan teknologi digital.”

“Justeru, kerjasama erat antara universiti dan industri akan terus diperkukuh,” tambahnya.

Turut hadir Ketua Komunikasi Korporat KPT, Mohamad Hafizi Rosli; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar; dan Timbalan Ketua Pengarah Komunikasi Komuniti J-KOM, Suwadi Guliling. 

  • Last updated on .
  • Hits: 678
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 15 July 2025, 07:22:36.

sirim-logo