KPT Perkukuh Kerjasama Malaysia - Jepun Menerusi Pendidikan Tinggi Dan Perluasan Inovasi Terkini

KPT Perkukuh Kerjasama Malaysia - Jepun Menerusi Pendidikan Tinggi Dan Perluasan Inovasi Terkini
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, P.Y.T Nagaoka Keiko sempena lawatan kerja dua hari P.Y.T Nagaoka Keiko ke Malaysia, hari ini. Turut serta Duta Besar Jepun ke Malaysia, TYT Takahashi Katsuhiko.

Pertemuan dua hala ini merupakan pertemuan julung kali diadakan di antara kedua-dua pemimpin.

Antara perkara yang telah dibincangkan ialah mengenai perkembangan terkini penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia dan aktiviti-aktiviti kerjasama di antara insitusi pendidikan tinggi Malaysia dan Jepun melalui program-program di bawah Malaysia – Japan International Institute of Technology (MJIIT) serta Japanese International Cooperation Agency (JICA).

YB Menteri turut merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan Jepun atas kerjasama dan insitiatif di bawah program Science & Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS) sejak tahun 2010 menerusi program-program penyelidikan sains dan teknologi yang berimpak tinggi antaranya berkaitan teknologi pengurusan bencana, sumber tenaga lestari dan langkah-langkah kawalan penyakit berjangkit.

Kedua-dua pihak turut membincangkan mengenai peluang untuk mewujudkan lebih banyak kerjasama saintifik bagi melaksanakan inovasi terkini dalam menghadapi cabaran yang dihadapi oleh komuniti global terutamanya dalam aspek keterjaminan makanan (food security), perubahan iklim (climate change) dan gangguan teknologi (technological disruptions).

Pertemuan ini turut disertai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, YBhg. Dato' Dr. Hj. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, KPT, YBhg. Datin Noorazah Omar; para delegasi Jepun; serta pegawai-pegawai kanan KPT.

  • Last updated on .
  • Hits: 2349
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 24 May 2024, 17:03:21.