KPT Perkasa Kesejahteraan Mental Warga, Minda Positif Penentu Kecemerlangan

15 Oktober 2026 | Putrajaya
Hari Terbuka Psikologi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tahun 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental serta kesejahteraan psikologi dalam kehidupan seharian.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim sebagai manifestasi komitmen berterusan bagi memastikan kesejahteraan holistik setiap warganya sejajar dengan usaha kerajaan memperkasa kesihatan mental di tempat kerja.
Berteraskan tema "Minda Positif, Kehidupan Sejahtera", program ini menekankan bahawa penjagaan kesihatan mental sama penting dengan kecergasan fizikal kerana minda yang sihat merupakan pemangkin kepada kesejahteraan hidup.
Penganjuran Hari Terbuka Psikologi 2026 ini bukan sekadar pameran, bahkan bertindak sebagai mekanisme utama yang memberi ruang kepada warga kementerian memperoleh ilmu dan bimbingan pengurusan emosi yang berkesan melalui penglibatan pelbagai pihak pakar dan kaunselor.
YBhg. Datuk KSU dalam ucapannya mengingatkan warga supaya saling cakna dengan keadaan emosi rakan sekerja selaras dengan prinsip "Kita Jaga Kita" dalam usaha mencegah isu kritikal seperti kemurungan, kelesuan emosi atau tekanan akibat beban tugas termasuklah yang menyumbang kepada hasrat mencederakan diri.
Dalam pada itu, turut disorot ialah keberkesanan Talent Opinion Survey Annual Index (TO-SAY) dan Well-being Index (WBI) sebagai medium ukur tara kesejahteraan yang membuktikan kesediaan KPT mendengar luahan serta pandangan kakitangan bagi melahirkan dasar intervensi berkesan demi penambahbaikan persekitaran tempat kerja.
Usaha pemerkasaan dan penyuburan budaya sihat dan positif ini diyakini akan memperkukuh motivasi dalaman warga KPT yang memikul amanah besar bagi melahirkan bukan sekadar mahasiswa cemerlang akademik, tetapi stabil dari sudut emosi dan rohani.
"Setiap daripada anda adalah aset kementerian yang amat penting," tegasnya lagi kepada warga kementerian untuk segera merujuk kepada perkhidmatan kaunseling atau mendapatkan bimbingan rakan pembimbing tanpa sebarang perasaan segan silu demi keselamatan emosi dan diri.
Meraikan ukhuwah kekeluargaan dalam warga kementerian, KPT akan terus memastikan bahawa kesihatan psikologi diletakkan sebagai keutamaan harian dan menoktahkan matlamat bahawa sesebuah kejayaan organisasi bermula dengan kehidupan pekerja yang sejahtera, harmoni dan dilindungi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Dato' Azhar Mohamad Yusof.
- Last updated on .
- Hits: 54
