KPT Merpergiat Usaha Tingkatkan Kemasukan Pelajar Ke Program TVET
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) giat menggembleng usaha mentransformasi serta memperkasa politeknik dan kolej komuniti. Antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah dengan menambah beberapa lagi penawaran program yang selari dengan New Industrial Master Plan (NIMP) 2030.
‘Program tersebut merangkumi bidang-bidang terkini dan termaju daripada segi kemahiran dan medical devices serta teknologi dalam disiplin kejuruteraan, elektrik dan mekanikal pembuatan’, ujar YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT ketika menyampaikan ucapan di Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 (Sidang 8 ) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.
Tambah beliau lagi, bagi meningkatkan kemasukan pelajar TVET di bawah KPT, turut disediakan ialah laluan khas kemasukan kepada golongan rentan, seperti golongan B40, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Orang Asli. Bahkan, KPT juga bercadang untuk mempertimbangkan laluan khas kepada pelajar aliran agama, para huffaz dan lepasan maahad tahfiz untuk menyertai pelbagai program TVET di bawah KPT, katanya.
Misalnya, perkongsian kepakaran dan penambahbaikan kandungan pengajian dan latihan termasuk dengan melaksanakan Latihan Industri Berstruktur serta mengimplementasikan pendekatan Work Based Learning (WBL), iaitu pendekatan pembelajaran secara langsung dalam industri dan microcredentials.
”Bermula tahun hadapan kolej komuniti akan bertindak sebagai pusat utama penawaran pakej microcredentials kepada masyarakat dimulakan dengan penawaran menawarkan sembilan program microcredentials di tiga Kolej Komuniti, iaitu Kolej Komuniti Pasir Gudang, Bandar Penawar dan Pagoh” kata Datuk Dr. Mohd Zabri.
Seramai 451 orang graduan kolej komuniti zon Kelantan dan Terengganu menerima skrol masing-masing di Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 yang telah menutup tirainya pada hari ini.
- Last updated on .
- Hits: 2851