KPT Mantap Strategi IPT Hadapi Cabaran Semasa

KPT Mantap Strategi IPT Hadapi Cabaran Semasa
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir hari ini meluangkan masa menyampaikan ucapan penutup Program Ulangkaji dan Penetapan Minda Pemimpin Institusi Pendidikan Tinggi (Refresher and Mind Setting Programme for Leaders of Higher Education Institutions) yang berlangsung di ibu negara.

Program anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) ini berjaya menghimpunkan lebih 300 orang peserta dalam kalangan pengurusan tertinggi Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), ahli Lembaga Pengarah Universiti Awam serta Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat universiti dari seluruh negara.

Tujuan utama program adalah untuk membincangkan cabaran serta halangan semasa yang dihadapi IPTA di samping membentuk kesepakatan terhadap pendekatan strategik dalam memperkukuh daya tahan dan keberkesanan kepimpinan institusi.

Program telah dikemudikan oleh dua (2) tokoh berpengalaman dalam bidang transformasi dan kepimpinan strategik.

Senior Partner and Managing Partner, Education Practice, McKinsey & Company (Kuala Lumpur), Li‑Kai Chen membimbing sesi bersama ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat universiti yang meneliti isu tadbir urus, prestasi organisasi serta pemerkasaan peranan entiti berkaitan universiti dalam menjana nilai tambah kepada institusi.

Manakala Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, PEMANDU Associates, Dato’ Sri Idris Jala telah mengetuai sesi bersama pengurusan tertinggi IPTA yang memberi tumpuan kepada penilaian cabaran dalaman serta keperluan merangka langkah-langkah pembaharuan yang bersifat menyeluruh dan mampan .

YB Menteri dalam ucapan penutup turut menyentuh beberapa perkara penting berkaitan hala tuju sektor pendidikan tinggi negara yang telah diperincikan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030 oleh YAB Perdana Menteri khususnya aspek transformasi peranan dan struktur Institusi Pendidikan Tinggi dalam mendukung agenda pembangunan nasional.

Beliau turut menekankan peri pentingnya pemikiran strategik dan kebersamaan dalam kalangan pemimpin Institusi Pendidikan Tinggi bagi menjayakan agenda pembaharuan pendidikan tinggi negara secara menyeluruh.

Program ini diharap dapat memperkukuh hala tuju kepimpinan institusi secara lebih bersepadu dan responsif selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Datuk Azhan Md Amir. 

  • Last updated on .
  • Hits: 373
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 03 September 2025, 06:35:13.

sirim-logo