KPT Kongsi Ilmu, Hantar Kontinjen Sertai Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited untuk menggalakkan para akademia berkongsi dan memindahkan ilmu kepada masyarakat.
Bersempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/ 2025M yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim telah menyampaikan Tausiyah Khas Maal Hijrah.
Beliau telah menyampaikan tausiyah berkaitan falsafah yang terdapat daripada hijrah Rasulullah SAW termasuk kesusahan dan kesyukuran; kuasa dan Maqasid Al-Umran; dan saling bantu membantu.
Majlis sambutan tahun ini yang mengangkat tema ‘Membangun Ummah MADANI’, mengangkat peranan ummah sebagai ejen rahmah, adil dan progresif selain menyeru umat Islam supaya mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW untuk membina masyarakat lebih bertamadun, inklusif dan seimbang dari segi kerohanian serta fizikal.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah berkenan berangkat untuk menyempurnakan majlis sambutan dan pengurniaan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang juga bekas Mufti Johor ke-11, Datuk Dr Nooh Gadot.
Penerima Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa bagi tahun ini pula dianugerahkan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Setia Mohd Na'im Mokhtar.
Kontinjen KPT dengan penglibatan 40 warga - lengkap persalinan berwarna biru muda diketuai oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim dengan turut dihadiri oleh TKSU (Dasar), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian dan TKSU (PP), Datuk Mohamad Azhan Md. Amir.
- Last updated on .
- Hits: 82