KPT Komited Lahirkan Modal Insan Berkemahiran Tinggi Dalam Kalangan Komuniti Nelayan

KPT Komited Lahirkan Modal Insan Berkemahiran Tinggi Dalam Kalangan Komuniti Nelayan
English translation not available for this content.

Pembangunan modal insan yang holistik melalui akses Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilihat sebagai instrumen kritikal dalam mengubah landskap sosioekonomi komuniti nelayan di Pulau Pangkor.

​Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk memperluaskan akses latihan kemahiran kepada anak-anak nelayan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan pesat sektor maritim negara.

​Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif pendidikan ini adalah pelengkap kepada prakarsa Kerajaan MADANI menyediakan infrastruktur fizikal yang selesa seperti program perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN).

Beliau hadir ke Majlis Penyerahan PSN Pulau Pangkor Fasa Ke-2 oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), yang telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, YB Dato' Haji Mohd Zolkafly Harun, mewakili YAB Menteri Besar Negeri Perak.

Dalam ucapannya, ​YB Dato' Seri Dr. Zambry menegaskan bahawa persekitaran kediaman yang kondusif di PSN Pulau Pangkor Fasa Ke-2 ini akan menjadi mangkin kepada kejayaan akademik anak-anak nelayan untuk belajar dengan lebih selesa.

Selain itu, ​KPT turut menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang menyasarkan pelaburan RM72 bilion melalui projek Lumut Maritime Industrial City (LUMIC) dengan menyediakan tenaga kerja mahir dalam sektor maritim dan logistik.

​Peluang kerjaya berkemahiran tinggi yang bakal wujud itu memerlukan persediaan pendidikan yang rapi, justeru KPT akan memastikan IPT berperanan aktif dalam komuniti di situ.

​Pada majlis tersebut, YB Menteri Pendidikan Tinggi telah turut menyampaikan sijil kepada kira-kira 100 orang belia Negeri Perak yang telah berjaya melengkapkan kursus Pemandu Pemancing (Fish Guide).

Kursus kelolaan Bahagian Pembangunan KPT tersebut membantu melengkapkan individu dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menjadi pemandu pelancong memancing profesional bagi menjana pendapatan tambahan yang lumayan.

​Bagi menyokong ekonomi semasa, bantuan peralatan bernilai RM450,000 turut disalurkan oleh LKIM merangkumi enjin sangkut, tong berinsulasi dan jaket keselamatan kepada nelayan yang memerlukan.

​Usaha bersepadu antara penyediaan kediaman yang selesa dan akses pendidikan berkualiti, diyakini mampu mengeluarkan keluarga nelayan daripada kepompong kemiskinan tegar.

Hadir sama Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil; ADUN Pantai Remis, YB Wong May Ing; serta ADUN Pangkor, YB Norhaslinda Zakaria. 

  • Last updated on .
  • Hits: 218
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 December 2025, 09:37:58.

sirim-logo