KPT Komited Lahirkan Generasi Bebas Rasuah, Perangi Buli Di IPT
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggariskan komitmen berterusan untuk melahirkan generasi masa depan yang bebas rasuah di samping mempergiat usaha menangani gejala buli secara menyeluruh di semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, menegaskan pendirian itu dalam amanatnya di Majlis Perhimpunan Bulanan KPT bagi bulan September 2025.
Majlis yang berlangsung di Dewan Za’ba, KPT itu turut meraikan Perasmian Penutupan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) Siri 43 Tahun 2025 anjuran bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada majlis sama, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menyempurnakan pelancaran logo kempen “Be A Buddy, Zero Bully” sebagai simbolik keseriusan kementerian dalam membudayakan persekitaran kampus yang selamat dan sejahtera.
Sebelum ini, beliau telah turut memperincikan enam (6) langkah strategik yang telah diambil oleh KPT bagi membanteras gejala tersebut, termasuk penerapan budaya toleransi sifar terhadap buli dan penambahbaikan mekanisme sistem pelaporan kes.
Menyentuh soal integriti, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap dapatan kajian lalu yang menunjukkan 30 peratus mahasiswa sanggup menerima rasuah jika diberi peluang, sekali gus menekankan peri pentingnya usaha pemupukan nilai murni di IPT.
Justeru, KPT akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan SPRM bagi memastikan agenda pemerkasaan integriti dan tadbir urus dapat digerakkan secara bersepadu di semua peringkat pengajian tinggi.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki dalam ucapannya mengingatkan bahawa usaha membanteras rasuah memerlukan iltizam politik yang jelas dan kerjasama kolektif daripada segenap lapisan masyarakat.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian sijil kepada wakil peserta CEIO Siri 43 serta hadiah kepada para pemenang pertandingan sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat KPT.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; dan Ketua Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), YBhg. Dato' Mohd Hafaz Nazar.
- Last updated on .
- Hits: 772