KPT Fokus Angkat Ikon Alumni Tarik Minat Ceburi Bidang TVET

KPT Fokus Angkat Ikon Alumni Tarik Minat Ceburi Bidang TVET
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memfokuskan usaha dalam menjejak para alumni Kolej Komuniti yang sudah berjaya untuk diangkat sebagai ikon bagi menarik minat generasi muda menceburi bidang TVET.

Selain itu, KPT melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) turut akan memperluaskan lagi kursus-kursus di bawah program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang ditawarkan di rangkaian Kolej Komuniti ke semua lapisan masyarakat.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata demikian ketika membuat lawatan kerja ke Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka (KKBBM) sebagai sebahagian dari program Jejak TVET MADANI@PolyCC petang tadi.

Disambut oleh Pengarah KKBBM, Muhammad Sani Che Idris bersama kakitangan dan para pelajar KKBBM, YB Timbalan Menteri telah menerima taklimat berkaitan pencapaian dan pelaksanaan kursus-kursus berteraskan TVET di di situ.

Bangga dengan usaha dan inisiatif yang telah dijayakan oleh KKBBM, beliau yakin empat (4) program sepenuh masa iaitu Sijil Teknologi Elektrik, Sijil Teknologi Automotif, Sijil Kulinari, dan Sijil Operasi Perhotelan serta pelbagai kursus jangka pendek yang ditawarkan di situ mampu menjayakan aspirasi TVET negara.

YB Timbalan Menteri turut berkesempatan merasmikan X Coffee milik Muhamad Nur Azwan Azman, serta membuat lawatan ke Bavaria At Work Enterprise milik Afiq Hassan yang kedua-duanya merupakan ikon alumni KKBBM.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), JPPKK, Ts. Haji Muhammad Rumzi Mamat. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1007
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.