KPT DI PBAKL2026: TIMBALAN PERDANA MENTERI SARAN MAPIM PERLUAS PENERBITAN TVET, PERKUKUH BAHAN RUJUKAN AKADEMIK NEGARA

KPT DI PBAKL2026: TIMBALAN PERDANA MENTERI SARAN MAPIM PERLUAS PENERBITAN TVET, PERKUKUH BAHAN RUJUKAN AKADEMIK NEGARA
English translation not available for this content.

30 Mei 2026 | Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)

Pemerkasaan bahan rujukan akademik berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menjadi antara agenda penting negara dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

Perkara itu dizahirkan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengadakan lawatan santai ke Pavilion Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di sini pagi tadi.

Dalam kunjungan yang turut ditemani oleh cucu-cucu beliau, Ahmad Zahid menyarankan agar MAPIM memperluaskan penerbitan judul akademik berkaitan TVET sebagai sumber rujukan utama kepada pelajar, pendidik dan penyelidik.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata penerbitan ilmiah berkualiti mampu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pendidikan berasaskan kemahiran dalam memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.

Menurut beliau, usaha memperkayakan bahan bacaan TVET turut menyokong agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) serta memperluas akses kepada ilmu dan latihan berasaskan kemahiran.

Sepanjang lawatan tersebut, beliau meninjau koleksi buku ilmiah terbaharu terbitan universiti tempatan serta diberikan penerangan mengenai pelbagai penerbitan yang dipamerkan di Pavilion MAPIM.

Beliau turut beramah mesra dengan penulis dan penerbit universiti serta menzahirkan penghargaan atas sumbangan mereka dalam memperkaya khazanah ilmu negara menerusi penerbitan akademik.

Sebagai tanda sokongan terhadap industri penerbitan ilmiah negara, beliau turut membeli beberapa naskhah buku terbitan universiti untuk dijadikan bahan bacaan dan koleksi peribadi.

Mengiringi beliau, Pengerusi MAPIM, Prof. Madya Dr. Siti Rahmah Awang; Ketua Pegawai Eksekutif WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim; serta barisan penulis dan penerbit universiti tempatan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 75
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 15 June 2026, 10:03:49.

sirim-logo