KPT Bersama Banteras Fahaman Radikalisme Demi Kedaulatan Negara

KPT Bersama Banteras Fahaman Radikalisme Demi Kedaulatan Negara
English translation not available for this content.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal menyempurnakan Seminar Pencegahan Radikalisme dan Ekstremisme: Cabaran di Kalangan Belia di Dewan Seri Perdana, Lahad Datu hari ini.

Pelaksanaan seminar ini bertujuan untuk memberikan platform dan ruang kepada belia terutama golongan pelajar dan masyarakat setempat untuk lebih memahami dan mendalami implikasi fahaman radikal dan ekstrem, memperkasa dan melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang sewajarnya dalam menghadapi ancaman radikalisme dan ekstremisme di samping membina serta mengukuhkan kerjasama strategik antara agensi.

“Program-program seumpama ini akan diteruskan lagi di tahun-tahun yang akan datang malah melibatkan skala yang lebih besar dan lebih menyeluruh di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) khususnya kolaborasi strategik antara kepakaran/ penyelidikan di IPT bersama agensi-agensi penguatkuasaan, keselamatan, pertahanan serta kawalan sempadan”, ucap YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Menurut beliau, KPT amat berbesar hati sekiranya dilibatkan secara langsung dalam keanggotaan jawatankuasa atau taskforce di peringkat nasional bagi merangka dasar/ polisi, penggubalan akta, pindaan peraturan, pembangunan garis panduan malah dalam pembentukan modul berkaitan pencegahan, kawalan mahupun pemulihan daripada fahaman pelampau dan aktiviti radikalisme.

“Kementerian yakin penganjuran program ini amat wajar bagi pengukuhan jati diri, pembentukan sahsiah kendiri di samping penerapan nilai-nilai kerohanian dan insaniah serta menyemai semarak patriotisme di kalangan belia terutama warga IPT,” tambah beliau.

Seramai 500 orang peserta hadir menjayakan seminar pada hari ini yang terdiri daripada pelajar-pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti serta penglibatan secara langsung daripada belia komuniti setempat.

Seminar ini juga turut menampilkan penceramah, panel dan moderator yang pakar dalam topik yang dibincangkan iaitu wakil daripada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, Majlis Keselamatan Negara dan Universiti Malaysia Sabah.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff dan pegawai-pegawai KPT, Institusi Pendidikan Tinggi, Jabatan dan Agensi Kerajaan.

  • Last updated on .
  • Hits: 845
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 09 April 2024, 09:42:49.