Kewangan Islam, Industri Halal Malaysia Tarik Minat Republik Tatarstan Meterai MoU Dengan KPT

Kewangan Islam, Industri Halal Malaysia Tarik Minat Republik Tatarstan Meterai MoU Dengan KPT
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah menerima kunjungan hormat delegasi Republik Tatarstan yang diketuai oleh Prof. A. Kh. Gimutdinov di pejabatnya petang tadi.

Lawatan tersebut merupakan kunjung balas ke atas YB Menteri oleh wakil Rais (Presiden) Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov sempena Kazan Forum 2023 pada Mei lalu yang telah membincangkan peluang kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi antara Kuala Lumpur dan Kazan.

Walhasil, sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU), satu (1) Memorandum Perjanjian (MoA), dua (2) Surat Kerjasama (LoC) serta satu (1) Tambahan (Addendum) telah berjaya dimeterai dalam bidang pendidikan tinggi mencakupi aspek penyelidikan dan pembangunan; program mobiliti; serta biasiswa.

Justeru, sebuah majlis menandatangani dan pertukaran memorandum yang disaksikan oleh YB Menteri dan Prof. A. Kh. Gimutdinov telah diadakan di bangunan KPT tadi melibatkan tujuh (7) buah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia serta lima (5) dari republik tersebut.

Bidang kepakaran sektor pendidikan tinggi Malaysia yang menjadi fokus republik itu adalah perbankan dan kewangan Islam; industri halal; serta program pembangunan dan pemerkasaan penjawat awam.

Republik dari Persekutuan Rusia itu pula akan menawarkan kepakaran mereka dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan , agroindustri serta pendigitalan.

Malaysia juga bakal mempromosikan program Edutourism yang menawarkan pelbagai kursus jangka pendek dari 1 hari ke 6 bulan berbentuk ilmiah dan kemahiran yang ada di IPT tempatan kepada pelajar dari republik tersebut.

Malah, atas semangat kerjasama antara Malaysia dan Republik Rusia sebelum ini, YB Menteri turut mempelawa pelajar cemerlang dari Kazan untuk meneruskan pengajian di IPT tempatan melalui program biasiswa Malaysian International Scholarship (MIS) tajaan KPT.

YB Dato' Seri Mohamed Khaled turut berharap agar usaha kolaborasi ini akan melahirkan output positif yang bakal mengukuhkan lagi sektor pendidikan tinggi negara apabila delegasi Republik Tatarstan tersebut akan melawat ke beberapa buah IPT awam nanti.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT yang menjalankan tugas Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, YBhg. Datin Noorazah Omar.

  • Last updated on .
  • Hits: 1847
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 15 April 2024, 21:14:58.