Keperluan Komuniti, Kualiti Akademik Disaran Jadi Tumpuan Tarik Minat Rakyat Sarawak Sertai POLYCC

Keperluan Komuniti, Kualiti Akademik Disaran Jadi Tumpuan Tarik Minat Rakyat Sarawak Sertai POLYCC
English translation not available for this content.

18 September 2026 | Kuching, Sarawak

Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) perlu sentiasa menyesuaikan keupayaan institusi dengan keperluan komuniti dan industri bagi memastikan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kekal relevan dengan perubahan semasa serta mampu menarik lebih ramai rakyat Sarawak mengikuti pendidikan berasaskan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim berkata Kolej Komuniti khususnya perlu sentiasa mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat bagi memahami keperluan dan memastikan program pendidikan serta latihan yang ditawarkan terus mempunyai nilai kepada masyarakat.

Beliau turut menekankan supaya semua institusi POLYCC perlu mengenal pasti serta merancang keperluan mendesak masing-masing, terutama berkaitan fasiliti dan peralatan akademik supaya persekitaran pembelajaran dan tempat kerja berada dalam keadaan kondusif.

Selain kemudahan fizikal, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin berkata peningkatan kepakaran tenaga akademik perlu diberi perhatian secara berterusan dengan membuka lebih banyak peluang kepada pensyarah POLYCC untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) atau kelayakan setara.

Menurut beliau, pengembangan kepakaran pensyarah penting bagi memastikan institusi dapat menyediakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkualiti serta memenuhi tuntutan bidang TVET yang sentiasa berkembang.

Amanat itu disampaikan menerusi lawatan kerja beliau ke Kolej Komuniti Kuching Sarawak (KKKS) dan Politeknik Kuching Sarawak (PKS) di sini semalam.

Turut hadir ialah Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pembangunan KPT, Noraini Ahmad dan Timbalan Pengarah, Bahagian Perancangan Program dan Institusi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Amiruddin Samsudin.

Hadir sama Pengarah Politeknik Kuching Sarawak, Mohamad Nazri Ismail, Pengarah Kolej Komuniti Kuching, Sumbang anak Mandaw serta para Pengarah POLYCC Zon Sarawak.

Dalam lawatan tersebut, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bersama delegasi turut meninjau keadaan fasiliti dan peralatan yang digunakan bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di KKKS dan PKS, termasuk melihat sendiri keperluan institusi bagi memastikan kemudahan pembelajaran dan latihan dapat menyokong pengalaman pendidikan pelajar.

  • Last updated on .
  • Hits: 45
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 21 September 2026, 09:14:59.

sirim-logo