Kembara Karisma: OHEA Bakal Satukan Kerangka Perundangan Pendidikan Tinggi

27 Ogos 2026 | Pekan, Pahang
Program Kembara KARISMA menjadi platform interaksi dan perkongsian secara langsung antara Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dengan kira-kira 500 orang pensyarah dan pentadbir muda Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Zon Timur bagi membincangkan pelbagai isu serta hala tuju pendidikan tinggi negara.
Dalam sesi berkenaan, beliau berkata kerangka Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (One Higher Education Act, OHEA) yang sedang dirangka perlu melihat keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi dan bukan hanya menyentuh soal kebebasan mahasiswa.
Beliau berkata pembaharuan itu perlu mengambil kira kedudukan mahasiswa, ahli akademik dan pentadbir serta aspek penubuhan, tadbir urus dan pembangunan akademik universiti bagi mewujudkan kerangka perundangan yang lebih selaras.
Menurut beliau, langkah berkenaan selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang menjadi asas kepada perubahan lebih besar dalam sistem pendidikan tinggi negara, termasuk usaha menyelaras pelbagai akta yang kini mengawal institusi serta warga pendidikan tinggi.
“Program seperti Kembara KARISMA ini penting kerana kita dapat berinteraksi secara langsung dengan pensyarah dan pentadbir muda untuk mendengar pandangan, pandangan serta isu yang mereka hadapi dalam melaksanakan tanggungjawab di institusi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata kebebasan mahasiswa perlu bergerak seiring dengan pembentukan sahsiah, tanggungjawab sebagai pelajar serta pemeliharaan adab dan profesionalisme akademik.
Pada masa sama, beliau berkata ruang kepada ahli akademik dan pentadbir untuk menyuarakan pandangan perlu turut diberi perhatian supaya proses membuat keputusan dalam pendidikan tinggi tidak hanya berpusat kepada suara mahasiswa.
“Kita tidak mahu melihat kesemua akta ini menjadi akta kongkongan,” katanya sambil menegaskan pembaharuan perundangan perlu membuka ruang yang lebih baik kepada warga pendidikan tinggi tanpa mengabaikan prinsip dan tanggungjawab masing-masing.
Sesi interaksi itu turut menyentuh isu yuran bersubsidi, dengan beliau berkata prinsip akses pendidikan tinggi untuk semua perlu dikekalkan dengan mengambil kira keperluan pelajar daripada latar belakang berbeza, manakala perkara teknikal berkaitan mekanisme subsidi akan turut diteliti dalam proses penyediaan cadangan baharu.
Berhubung penyelidikan, beliau berkata usaha mendapatkan peruntukan lebih besar bagi penyelidikan berimpak tinggi perlu diteruskan selain menggalakkan kerjasama lebih rapat antara universiti, kementerian berkaitan dan industri bagi membuka lebih banyak peluang kepada pensyarah muda.
Beliau turut menggesa perubahan pendekatan terhadap sabatikal supaya pensyarah boleh menjalankan penyelidikan secara langsung dalam industri, termasuk di syarikat multinasional yang mempunyai kemudahan dan teknologi terkini, dengan pengalaman itu turut diambil kira dalam proses kenaikan pangkat.
Dalam soal kesejahteraan pensyarah muda, beliau berkata beban pengajaran perlu dilihat berdasarkan jenis dan fungsi universiti supaya pensyarah mempunyai ruang mencukupi untuk membaca, menjalankan penyelidikan dan menyesuaikan pengajaran dengan perubahan generasi serta perkembangan teknologi.
Program Kembara KARISMA turut menyaksikan penyerahan Surat Watikah Lantikan CEO@Faculty kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tanah Makmur Berhad, Dato’ Shahrul Nizam Abdul Aziz, dan Naib Presiden dan Pengarah Urusan Western Digital Tech and Regional Center Malaysia Sdn. Bhd., Dato’ Raghu Bathanathan, bagi Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), sebagai jalinan strategik antara dunia akademia dan industri.
Sebagai penutup, sesi yang berlangsung di Dewan Konvokesyen UMPSA Kampus Pekan itu turut diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang dan nyanyian lagu Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias; Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia, Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; serta para Naib Canselor dan Pengarah IPT Awam.
- Last updated on .
- Hits: 16
