Kejohanan FIRA Inisiatif Terbaik Tarik Minat Pelajar Ceburi Bidang Robotik, STEM

Kejohanan FIRA Inisiatif Terbaik Tarik Minat Pelajar Ceburi Bidang Robotik, STEM
English translation not available for this content.

Penganjuran Kejohanan FIRA (Federation of International Robosports Association - Persekutuan Persatuan Robosukan Antarabangsa) merupakan satu inisiatif terbaik dalam memupuk minat generasi muda menceburi bidang robotik dan STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics-Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) sejak bangku sekolah lagi.

Jelas YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, objektif penganjuran ini juga senada dengan gagasan Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membangunkan bakat dan pakar AI (Artificial Intelligence-Kecerdasan Buatan) tempatan yang kreatif dan terkedepan.

Beliau yang hadir ke Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) bagi menyempurnakan majlis penutup Piala Malaysia 2024 Kejohanan FIRA ke-17 petang tadi, turut menyatakan bahawa perkembangan robotik tempatan semakin meningkat dengan pengenalan pelbagai inisiatif merangkumi aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pendidikan, serta jalinan kerjasama dengan pemain industri.

Tambahnya lagi, minat dan penyertaan golongan muda dalam bidang AI, robotik, dan STEM turut akan membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada bakat luar seraya mampu meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju yang lain.

Malah, penganjuran kejohanan seumpama ini berupaya melahirkan graduan TVET yang berkualiti, berkebolehan dan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi komputer, elektrikal, dan mekanikal seterusnya mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET tempatan.

PSAS telah diberi kepercayaan menjadi tuan rumah kejohanan peringkat kebangsaan ini yang berjaya meraih penyertaan hampir 978 peserta daripada 27 buah politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) seluruh negara bermula Ahad lalu.

Sebanyak sembilan (9) kategori dipertandingkan untuk kejohanan kali ini iaitu Simurosot, AiBot, HuroCup, MyBot Youth, Robosot, Androsot, Air Drone, Business & Innovation dan Autonomous Car Challenge dengan YB Timbalan Menteri telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Juara setiap kategori seterusnya akan meneruskan perjuangan di peringkat antarabangsa melalui penganjuran FIRA RoboWorld di mana pelajar akan berentap dengan peserta-peserta dari serata dunia.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang!!! 

  • Last updated on .
  • Hits: 746
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 25 July 2024, 04:35:17.

sirim-logo