Kejayaan UMT Melestarikan Pulau Redang, Pulau Bidong Dipuji
"Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) amat berbangga dengan pelbagai inisiatif dan pencapaian yang telah dicapai oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam memulihara serta melestarikan ekosistem marin di negeri ini (Terengganu)".
Jelas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud lagi, keterlihatan tujahan UMT semakin terserlah apabila turut menjadi rujukan oleh para penyelidik luar serta diiktiraf oleh pelbagai badan korporat dalam usaha kerjasama dan penajaan.
Beliau dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Izani Mohd Zain semalam telah bersama para pelajar tempatan dan antarabangsa yang sedang berkampung di UMT bagi program ESG: Global Young Leaders 2024 beraktiviti di Pulau Redang dan Pulau Bidong.
Di Pulau Redang, beliau telah menerima taklimat dan mengetahui lebih lanjut berkenaan kejayaan yang dilakar oleh para penyelidik UMT di Kem Prihatin Penyu, Stesen Penyelidikan Penyu Chagar Hutang dalam memulihara bilangan ibu penyu yang bersarang serta bilangan penetasan anak penyu yang mencecah 1.2 juta ekor sepanjang 30 tahun inisiatif konservasi dijalankan.
Begitu juga di Pulau Bidong, beliau telah meninjau sendiri fasiliti serta usaha-usaha konservasi serta penyelidikan yang dijalankan oleh para pakar marin biologi universiti tersebut.
Sehingga kini, Pulau Bidong telah menjadi tumpuan pelbagai organisasi dalam menyokong usaha mengindahkan serta memelihara ekosistem batu karang di situ.
Beliau berharap agar para pelajar UMT, para peserta program ESG: Global Young Leaders 2024; serta badan-badan korporat akan terus bersama universiti tersebut dalam usaha melestarikan alam laut bukan sahaja di Terengganu, malah di seluruh Malaysia juga.
- Last updated on .
- Hits: 585