Jom Masuk U 2023: KPT Umum 5 Inisiatif Buka Mata Anak Muda Ke Menara Gading

Jom Masuk U 2023: KPT Umum 5 Inisiatif Buka Mata Anak Muda Ke Menara Gading
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan majlis penutup Jom Masuk U 2023 (JMU 2023) yang telah diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) pagi tadi.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa sektor pendidikan tinggi adalah sebuah agenda nasional yang memerlukan tanggungjawab dan penyertaan semua pihak dalam menjayakannya.

Melalui program "signature" KPT ini, para anak muda lepasan sekolah boleh mengetahui dan menyemak peluang untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sesuai kelayakan dan minat mereka, sekali gus dapat memenuhi iltizam KPT untuk melahirkan bakat terbaik untuk pasaran kerja negara.

Tambah beliau, penganjuran di enam lokasi dengan jumlah kehadiran melebihi 60 ribu pengunjung turut membuktikan kejayaan semua pihak yang terlibat terutamanya Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan pelbagai pengisian bermanfaat untuk mereka yang hadir.

Pada majlis yang sama, YB Menteri Pendidikan Tinggi telah turut mengumumkan lima (5) inisiatif yang dijangka dapat menarik minat ramai anak muda untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.

Antaranya, memperkenalkan sistem pembelajaran hibrid dan anjal; pemendekkan tempoh pengajian 44 program di 9 Universiti Awam (UA) daripada 4 tahun kepada 3 tahun; dan peluasan inisiatif 'Program Pembangunan Siswa Sulung' (SULUNG) kepada 10 ribu orang pelajar di semua 20 buah Universiti Awam (UA) yang melibatkan implikasi kewangan RM30 juta.

Pada majlis yang sama beliau turut melancarkan sebuah lagi inisiatif baharu iaitu Program Asasi TVET yang bukan sahaja memudahkan laluan memiliki ijazah dalam bidang TVET malah mengangkat pengiktirafan kepada aliran teknikal dan vokasional.

Selain itu, KPT turut akan memperkenalkan satu (1) lagi inisiatif yang sedang dimuktamadkan bagi membolehkan

pengambilan pemegang-pemegang sijil kemahiran dari semua jenis institusi kemahiran untuk memasuki Politeknik.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; serta para pengurusan tertinggi KPT yang lain.

  • Last updated on .
  • Hits: 2198
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 28 November 2023, 16:33:06.