Jelajah Pendidikan Tinggi KPT Siri 5, Tarik Sambutan Hangat Komuniti Batu Sapi

Jelajah Pendidikan Tinggi KPT Siri 5, Tarik Sambutan Hangat Komuniti Batu Sapi
English translation not available for this content.

Program Jelajah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diteruskan lagi dengan penganjuran siri kelima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, Sandakan sekali gus menampilkan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Program yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud ini menghimpunkan pelbagai aktiviti pendidikan, keterampilan diri dan kemahiran praktikal yang ditawarkan secara percuma kepada komuniti, khususnya penduduk sekitar Sandakan.

Penganjuran siri kali ini menyediakan 10 kursus pendek yang merangkumi pelbagai bidang seperti anyaman bag, gubahan bouquet dan coklat, penyediaan makanan, penyelenggaraan penghawa dingin kenderaan, pemasangan 'wire extension', pembuatan roti dan dekorasi kek, rias kuku, gunting rambut, tanaman 'indoor plant' dan kraftangan anyaman crochet.

YB Timbalan Menteri menjelaskan, penganjuran kursus ini merupakan salah satu usaha KPT melalui Kolej Komuniti dan Politeknik untuk memperkenalkan program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur.

“Ramai mungkin masih belum mengetahui bahawa Kolej Komuniti menyediakan peluang pembelajaran dengan kos yang amat rendah, malah ada yang ditawarkan secara percuma. Kursus seperti ini mampu melahirkan individu yang bukan sahaja berkemahiran tetapi juga berpotensi menjadi usahawan berjaya,” ujar beliau.

Untuk rekod, kursus PSH anjuran Kolej Komuniti merupakan kursus yang paling menonjol dan mendapat sambutan. Kursus ini ditawarkan kepada semua peringkat umur, tidak kira tua atau muda. Yuran ditawarkan hanya serendah RM5.00 bergantung kepada bahan-bahan digunakan semasa kursus dijalankan namun, kos berkaitan masih berbaloi dengan kursus yang ditawarkan.

YB Datuk Ts. Mustapha turut menekankan bahawa kewujudan Kolej Komuniti di Sandakan, termasuk di Batu 7, memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang elektrik, pelancongan dan lain-lain yang berupaya meningkatkan taraf sosioekonomi.

Selain Kolej Komuniti, Politeknik Sandakan dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut memperkenalkan program berkaitan agropertanian serta perikanan yang berupaya membuka laluan kerjaya dan keusahawanan dalam sektor-sektor utama di Sabah.

Beliau turut berkongsi kejayaan beberapa alumni Kolej Komuniti yang telah menceburi bidang perniagaan selepas menamatkan kursus pendek, antaranya dalam bidang dekorasi kek, perhotelan dan pelancongan yang kini berjaya membuka premis perniagaan sendiri di Kota Marudu dan Semporna.

“Ini bukti jelas bahawa walaupun bermula dengan kursus jangka pendek, graduan Kolej Komuniti mampu berdiri di atas kaki sendiri dan bersaing dalam dunia keusahawanan. Inilah manifestasi pendidikan TVET yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat,” tambah beliau.

Siri jelajah seterusnya akan diteruskan ke lokasi lain di Sabah bagi memastikan lebih ramai masyarakat menerima manfaat. Orang ramai turut berpeluang mendapat manfaat pembelajaran yang disediakan KPT kerana inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui ilmu dan kemahiran. 

  • Last updated on .
  • Hits: 644
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 September 2025, 04:30:59.

sirim-logo