Jasa Dikenang, Bakti Disanjung: Datuk Dr. Anesee Tinggalkan Legasi Mampan Buat Ekosistem KPT

Jasa Dikenang, Bakti Disanjung: Datuk Dr. Anesee Tinggalkan Legasi Mampan Buat Ekosistem KPT
English translation not available for this content.

8 Mei 2026 | Putrajaya

"Tanpa komitmen dan amanah saudara-saudari sekalian, Kementerian ini tidak akan mampu mengecapi kecemerlangan. Malah, mustahil untuk kita berjaya tanpa usaha kolektif ini."

Demikian tegas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, dalam ucapan perpisahannya sempena majlis persaraan beliau yang berlangsung di ruang legar Kementerian, petang tadi.

Majlis yang dihadiri ratusan warga KPT yang terdiri daripada pelbagai lapisan jabatan, agensi, dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) itu membuktikan pengaruh serta kewibawaan kepimpinan beliau yang amat dirasai di segenap ekosistem pendidikan tinggi negara.

Terdahulu, YBhg. Datuk Dr. Anesee secara rasminya menggalas tanggungjawab sebagai KSU KPT pada 10 Mac 2025 bagi menggantikan Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang. Beliau membawa bersama profil akademik yang cemerlang, memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD) dari Durham University, United Kingdom, di samping merupakan alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari peringkat Diploma hingga Sarjana.

Memulakan kerjaya di sektor awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada tahun 1994, beliau telah menggalas pelbagai portfolio kritikal. Antara pengalaman luas beliau termasuklah berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta mewakili negara sebagai Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO di Paris, Perancis.

Sebelum menerajui KPT yang sering dilabel sebagai "Akal Budi Nusa (Brain of The Nation)", beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) di JPA; pengalaman yang nyata memberi nilai tambah dalam merangka dasar pembangunan sumber manusia.

Mengulas lanjut mengenai falsafah kepimpinannya, YBhg. Datuk Dr. Anesee menegaskan bahawa kejayaan sesebuah kementerian berakar umbi daripada usaha gigih kakitangan di setiap peringkat, dan bukannya sekadar di meja pucuk pimpinan.

"Kerja sebenar berlaku di bahagian-bahagian, bukannya di pejabat KSU. Jika saudara-saudari tidak melaksanakan tugas dengan penuh komitmen dan amanah, maka apa yang sampai kepada saya di peringkat atas tidak akan lengkap," jelasnya, merujuk kepada peri pentingnya ketelitian tugas di peringkat bawahan.

Persaraan beliau ini hadir ketika KPT sedang giat melaksanakan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035. Berada di bawah pemerhatian beliau, Kementerian telah merangka 67 program strategik bagi tahun 2026, yang merangkumi 26 Agenda Transformatif dan 41 Program 'Signature' demi memartabatkan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan global.

Meskipun melabuhkan tirai perkhidmatan, kesinambungan kepimpinan KPT diyakini akan terus mampan. Barisan pengurusan tertinggi Kementerian yang sedia ada dilihat bersedia menjadi tulang belakang bagi memastikan kelancaran kesemua dasar dan program strategik yang sedang berjalan.

Sebagai tanda penghormatan, seluruh warga KPT turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas dedikasi serta khidmat bakti beliau di sesi Clock Out petang tadi, dengan harapan agar beliau dikurniakan kesejahteraan berpanjangan bersama keluarga dalam meniti alam persaraan

Pada majlis yang sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian turut diraikan bersempena pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) di Kementerian Pendidikan Malaysia, yang berkuat kuasa pada Isnin hadapan.

Hadir sama, Timbalan KSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, serta barisan pengurusan tertinggi dan warga kerja Kementerian. 

  • Last updated on .
  • Hits: 44
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 11 May 2026, 09:53:48.

sirim-logo