IPTS Main Peranan Penting Lahir Bakat Berkualiti Negara

IPTS Main Peranan Penting Lahir Bakat Berkualiti Negara
English translation not available for this content.

Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) merupakan komponen penting dalam ekosistem pendidikan tinggi negara dan memainkan peranan yang setara dengan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dalam melahirkan modal insan berkualiti.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, menegaskan perkara ini ketika sesi In-Person With Doc Zam sempena Simposium L.E.A.D.X (Leadership. Empowerment. Advancement Experience) di Universiti Kuala Lumpur Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) petang semalam.

Simposium ini yang memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa telah menghimpunkan kira-kira 491 pelajar daripada 38 IPTS seluruh negara.

Menurut YB Menteri, Kerajaan komited memastikan IPTS tidak dipinggirkan dalam agenda pendidikan tinggi negara, seiring dengan usaha memperkasa kebolehpasaran graduan.

“Kita tidak boleh hanya menumpukan perhatian kepada IPTA sahaja. Semua bakat – sama ada dari IPTA atau IPTS – diperlukan untuk membangunkan negara,” ujar beliau.

Dalam sesi interaktif tersebut, beliau turut menekankan kepentingan merapatkan jurang antara pendidikan tinggi dan permintaan industri, khususnya dalam bidang teknologi semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

“Kita tidak mahu graduan sekadar memiliki ijazah tetapi tidak relevan dengan pasaran kerja. Pendidikan harus selari dengan keperluan semasa industri,” katanya.

Selain itu, YB Menteri turut menekankan aspek kebajikan mahasiswa, termasuk kesihatan mental, kos sara hidup dan akses kepada pembelajaran digital.

Beliau memberi jaminan bahawa Kementerian akan memastikan tiada pelajar terpaksa berlapar atau bergelut dengan masalah kewangan sepanjang tempoh pengajian.

TIGA RESOLUSI MAHASISWA IPTS

Simposium ini turut mengusulkan tiga (3) resolusi utama kepada Kementerian Pendidikan Tinggi:

1⃣ Penubuhan Private Higher Education Institution Student Council (ISC) sebagai badan rasmi yang mewakili mahasiswa IPTS di peringkat kebangsaan;

2⃣ Penyelarasan inisiatif Kerajaan seperti Fly Siswa dan Kad Peranti Siswa untuk turut memberi manfaat kepada mahasiswa IPTS; dan

3⃣ Penambahbaikan sistem penyaluran maklumat kepada pelajar IPTS agar lebih sistematik dan berkesan.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menyambut baik cadangan tersebut dan memberi jaminan bahawa KPT akan meneliti setiap usul yang dikemukakan.

“Kita mahu memastikan IPTS mendapat tempat sewajarnya dalam agenda pendidikan negara dan tidak dianggap sebagai pemain kelas kedua,” tegasnya.

Usai program tersebut, YB Menteri turut bersama-sama para pelajar berbuka dan mendirikan solat fardu dan tarawih berjemaah.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Ir. Dr. Azman Senin; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta pengurusan tertinggi Kementerian dan juga IPTS. 

  • Last updated on .
  • Hits: 601
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 15 July 2025, 07:22:36.

sirim-logo