INDex POLYCC 2025 Platform Integrasi Pelajar, Kurikulum Dan Industri

“Melalui (penganjuran) Industri Nexus (INDex) POLYCC 2025, kita dapat mengintegrasikan usaha pembangunan pelajar, inovasi kurikulum dan kolaborasi industri di bawah satu platform.
Usaha ini penting bagi memastikan graduan TVET sentiasa relevan dengan keperluan semasa industri serta mampu bersaing di peringkat global,” jelas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim semasa merasmikan Majlis Penutupan INDex POLYCC 2025 di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) petang tadi.
Program anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dijayakan dengan kerjasama PKT Logistics Group Sdn. Bhd. dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pahang itu berjaya menghimpunkan institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC), pemain industri serta komuniti setempat.
Tiga (3) komponen utama menjadi teras penganjuran iaitu Industrial Engagement Day @ POLYCC 2025 (IED@POLYCC 2025), Young Socialpreneur Programme (YS2P) All Starz 2025 dan Anugerah Apresiasi Industry Education Collaboration (IEC).
Majlis ini turut menyaksikan penyampaian anugerah YS2P All Starz 2025, penganugerahan Apresiasi IEC, serta peluncuran Centre of Food Science and Technology (CFoST).
Sepanjang dua (2) hari penganjuran, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk sesi dialog bersama industri, taklimat industri, penjurian 'pitching' secara bersemuka, pameran Centre of Technology (CoT), taklimat kerjaya, temuduga terbuka serta 'siswapreneur showcase'.
Program ini turut menampilkan penglibatan pelajar dan pensyarah POLYCC seluruh negara selain mengukuhkan kerjasama dengan lebih 40 wakil industri.
Menurut YBhg. Datuk Dr. Anesee, kolaborasi ini membuktikan kesungguhan POLYCC dalam melahirkan graduan berkaliber tinggi yang mampu mencipta impak dalam ekosistem pekerjaan global.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir; Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan PKT Logistics Group Sdn. Bhd., Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Industri Politeknik (MPIP).
- Last updated on .
- Hits: 503