‘In Person With Doc Zam@Universiti Poly-Tech Malaysia’: Platform KPT Dekati Dan Dengar Aspirasi Mahasiswa
Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan berkeperibadian unggul kekal menjadi teras utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha melahirkan generasi pelapis kepimpinan negara masa hadapan.
Agenda ini diberi penekanan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika sesi dialog "In Person With Doc Zam" bersama 1000 orang mahasiswa Universiti Poly-Tech MARA (UPTM) sempena program Academia Industry Collaboration (AIC) 3.0 di ibu negara petang tadi.
Sesi dialog santai tersebut kendalian alumni UPTM yang juga Pemenang Kategori Invidividu Wanita, Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan 2025, Amirah Mohamad Arshad, telah memberi peluang kepada mahasiswa UPTM untuk berinteraksi dan mendapatkan inspirasi daripada YB Menteri.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry dalam ucapannya mengingatkan mahasiswa tentang kepentingan membina kecemerlangan secara holistik, merangkumi aspek akademik, kokurikulum, kemahiran insaniah, dan nilai-nilai murni.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya dan menasihatkan para pelajar agar sentiasa mempunyai fokus yang jelas, kesabaran yang tinggi, serta tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran sepanjang pengajian.
KPT, menurut beliau, komited menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta peluang-peluang pembangunan diri agar potensi setiap mahasiswa dapat digilap sepenuhnya.
Majlis turut meraikan pencapaian UPTM melalui pelancaran program baharu Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kecerdasan Buatan dan pertukaran dokumen kerjasama dengan rakan industri, yang mana YB Menteri menyifatkannya sebagai usaha positif ke arah melahirkan graduan kompeten.
Interaksi dua hala antara YB Menteri dan mahasiswa ini diharapkan dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan demi masa depan mereka dan negara.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah MARA, Dato' Zulfikri Osman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation, Yahya Sani; serta Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Syiekh.
- Last updated on .
- Hits: 283