iFUTURE 2026: Pemimpin Muda Perlu Seimbangkan Nilai, Inovasi Dan Ketahanan Diri

iFUTURE 2026: Pemimpin Muda Perlu Seimbangkan Nilai, Inovasi Dan Ketahanan Diri
English translation not available for this content.

12 Oktober 2026 | Kuala Lumpur

Pembentukan pemimpin muda yang berupaya menggabungkan nilai kepimpinan, daya tahan diri dan inovasi menjadi tumpuan hari kedua Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (International Young Future Leaders Summit, iFUTURE 2026) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Perbincangan melalui tiga (3) sesi utama itu mengetengahkan kepimpinan dalam pembangunan negara, kepentingan kekuatan mental dalam mencapai matlamat serta peranan inovasi dalam membentuk nilai dalam ekonomi kreatif.

Sesi pertama, bertajuk “Pembina Masa Hadapan: Kepimpinan, Inovasi dan Impak terhadap Pembangunan Negara” (Future Builders: Leadership, Innovation and Impact in Nation Development), menampilkan Pengerusi Dagang NeXchange Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Ali sebagai ahli panel.

Sesi itu dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Belia Antarabangsa (International Youth Centre, IYC), Dr. Wan Ahmad Hazman Wan Daud, yang memandu pertukaran pandangan mengenai kepimpinan, inovasi dan sumbangannya terhadap pembangunan negara.

Sesi kedua, “Pemimpin Berdaya Tahan: Kekuatan Mental, Tujuan dan Prestasi” (The Resilient Leader: Mental Strength, Purpose and Performance), mengetengahkan dimensi ketahanan diri dalam kepimpinan menerusi perkongsian Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd Tajudin Md Ninggal dari Open University Malaysia dan usahawan merangkap pengasas PlusVibes, Dr. Madiha Fuad.

Sesi yang dikendalikan pempengaruh, Norliana Samsudin itu memberi ruang kepada perbincangan mengenai kekuatan mental, hala tuju dan prestasi sebagai aspek yang diketengahkan dalam pembentukan pemimpin berdaya tahan.

Pada sebelah petang, sesi “Menerajui Inovasi: Membentuk Nilai dalam Ekonomi Kreatif” (Leading Innovation: Shaping Values in the Creative Economy) menampilkan pengasas bersama merangkap Pengarah Urusan Animonsta Studios, Mohd Nizam Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd., Datuk Ir. Izwan Hasli Mohd Ibrahim.

Perbincangan tersebut dikendalikan penyampai Radio Televisyen Malaysia (RTM), Muhamad Nadhir Nordin, dengan fokus sesi berdasarkan hubungan antara inovasi, nilai dan perkembangan ekonomi kreatif.

Penganjuran sesi-sesi tersebut melengkapi pengisian iFUTURE 2026 yang berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober, dengan tema “Mentakrif Semula Kepimpinan Masa Hadapan Berteraskan Nilai” (Redefining Future Leaders Through Value-Based Leadership) sebagai landasan perbincangan mengenai kepimpinan generasi muda.

  • Last updated on .
  • Hits: 42
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 14 October 2026, 10:53:34.

sirim-logo